SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan pihak pembelaan bagi menangguhkan perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atas alasan beliau tidak sihat.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran ketika ditemui berkata, Hakim Datuk Mohd. Yazid Mustafa membenarkan permohonan itu selepas pihak pembelaan memaklumkan keadaan kesihatan tertuduh.
“Peguam minta tangguh sebab tertuduh dikatakan sakit, tidak sihat.
“Walaupun tertuduh sudah sampai di perkarangan mahkamah, namun dia tidak sihat. Jadi oleh kerana itu hakim membenarkan penangguhan,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Raja Rozela, atas keadaan itu, mahkamah turut melapangkan tarikh hari ini dan esok daripada perbicaraan.
Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tan Sri Alwi Ibrahim sepatutnya ditetapkan untuk prosiding pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan, pada hari ini.
Prosiding perbicaraan ditangguhkan dan bersambung pada 3 Februari 2022. – K! ONLINE