KUALA LUMPUR – Polis Sentul menyerbu dua buah premis disyaki sarang pelacuran yang berselindung di sebalik aktiviti pusat refleksologi dan rumah pangsapuri persendirian di Jalan Metro Perdana Barat dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan pertama oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dilakukan kira-kira pukul 3.30 petang, manakala serbuan kedua kira-kira pukul 9.45 malam.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati modus operandi kegiatan ini berselindung di sebalik pusat refleksologi dan rumah pangsapuri persendirian dan mereka dipercayai baru sahaja beroperasi sejak sebulan lalu.
“Sembilan individu ditangkap terdiri daripada dua lelaki warga tempatan yang merupakan penjaga premis dan tujuh wanita warga asing berusia antara 20 hingga 41 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pelacuran,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Eng Lai berkata, berkata, hasil serbuan polis merampas wang tunai kira-kira RM900, kondom pelbagai jenama, minyak urut serta minyak pelincir dan kesemua suspek direman selama tiga hari bermula dari 22 sehingga 24 Disember 2021 untuk siasatan lanjut.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam aktiviti pelacuran dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan menyalahgunakan permit pekerjaan.
Justeru, katanya, pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak terlibat di dalam aktiviti yang kurang sihat seperti itu memandangkan wabak covid 19 masih lagi berleluasa. – K! ONLINE