YARRAVILLE, Australia – Seorang bapa dilaporkan menembak mati anak perempuan dan menantunya sebelum menghantar jarinya yang dipotong kepada bekas isterinya, lapor akhbar New York Post semalam.
Osman Shaptafaj membunuh anak perempuannya, Lindita Musai, 25 dan menantu, Veton, 29, kerana berasa tidak dihormati selepas pasangan itu enggan memaklumkan kepadanya bahawa mereka sudah berkahwin.
Lelaki itu dikatakan menakut-nakutkan ahli keluarganya sepanjang kehidupan mereka sebelum insiden tembakan itu berlaku pada malam Tahun Baru 2019 di Yarraville, barat Melbourne, Australia.
Pasangan itu ditembak pada jarak dekat di belakang kepala ketika berada di anjung rumah keluarga mereka.
Lindita meninggal di tempat kejadian manakala Venton bertarung nyawa sehingga keesokan harinya, lapor akhbar Mail Online.
Suspek cuba membunuh diri dengan melepaskan dua das tembakan pada kepalanya, namun dilaporkan terselamat.
Menerusi kenyataan di mahkamah pada Selasa lalu, lelaki itu dikatakan mengancam keluarganya selama bertahun-tahun sebelum berjaya melepaskan diri pada 2008.
Arben Shaptafaj, abang Lindita yang turut menjadi mangsa memberitahu mahkamah bahawa bapanya mahu membalas dendam terhadap anak perempuannya selama bertahun-tahun.
Ketika kejadian, pasangan itu baru sahaja pulang daripada menyambut ulang tahun pertama perkahwinan mereka.
Osman berdepan hukuman penjara seumur hidup tanpa parol, manakala Hakim Andrew Tinney yang mengetuai perbicaraan memberi amaran bahawa dia akan mati di penjara. – Agensi