fbpx

K2

Anak bermasalah keliru dalam hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEMBALI kepada ajaran Islam yang mengajak umatnya kembali kepada ajaran al-Quran dapat menyelamatkan anakj muda daripada terjebak dengan perkara tidak baik seperti buli. – GAMBAR HIASAN

Oleh DR. ROSMAWATI MOHAMAD RASIT

LANDSKAP pendidikan negara dikejutkan dengan tularnya kes buli yang melibatkan pelajar sekolah baru-baru ini.
Sekolah berprestij yang menjadi dambaan para ibu bapa bagi menempatkan anak-anak yang dilihat dalam kategori pelajar kelas ‘A’ terpalit dengan isu insiden membuli.

Pelajar belasan tahun, di usia muda terperangkap dalam tingkah laku yang memberi kesan kepada modal insan dan juga sahsiah diri mereka sendiri.
Tindakan membuli sebenarnya bukan kes baharu, malah kerap berlaku dalam institusi pendidikan negara.

Namun, kali ini semakin parah apabila berlaku kepada anak-anak cerdik pandai yang sepatutnya menunjukkan peribadi dan sahsiah baik.

Masyarakat terkesima dan tidak percaya apabila melihat anak-anak bijak pandai yang mendapat tawaran masuk ke sekolah yang berprestij ini melakukan tindakan yang disifatkan tidak bertamadun.

Sukar meramal dan membuat jangkaan apabila generasi anak muda ini terperangkap dalam dunia dengan suasana ketidaktentuan yang ketara.

Ia memperlihatkan kepada kita sebagai dunia yang tidak stabil, tidak pasti, rumit dan kabur, selain dikaitkan dengan perkembangan teknologi dunia digital yang bergerak dengan pantas.

Sesungguhnya zaman sudah berubah. Keadaan berlaku dengan pantas dan sentiasa berubah.
Dunia tidak lagi tenang dengan kemunculan media baharu. Masyarakat sering dikejutkan dengan dunia yang sering berubah-ubah melalui berita yang tular di media sosial.

Trending berita muncul dengan pantas dan tidak dijangka.

Anak-anak generasi muda juga kerap keliru dengan keadaan yang tidak pasti.

Wujud ketidaktentuan yang menyebabkan mereka tidak pasti dengan apa yang berlaku di sekeliling.

Akhirnya mereka menjadi kelompok yang tidak berusaha untuk memahami apa yang berlaku sebenarnya dan mengabaikan dunia luar.

Begitu juga dengan kewujudan dunia yang rumit dan kompleks amat menyukarkan anak-anak untuk berdepan dengan banyak perkara yang tidak jelas.

Keserabutan dunia dapat dilihat apabila saban hari muncul kisah-kisah pelik yang berlaku dalam kalangan masyarakat.

GEJALA buli dalam kalangan remaja masa kini banyak dipengaruhi rakan sebaya, selain tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas. – GAMBAR HIASAN

Oleh itu, kita perlu memberikan generasi anak muda ini dengan memberikan sesuatu yang lebih jelas seperti matlamat hidup dan tujuan menuntut ilmu.

Generasi muda mudah kabur apabila mereka tidak jelas dengan matlamat hidup mereka.

Keadaan hidup yang berubah dengan pantas dan keputusan melibatkan proses lebih kompleks menyebabkan mereka tidak berupaya untuk menafsirkan dengan akal fikiran.

Dunia masa kini ternyata menganggu proses perkembangan adab dan nilai pelajar Muslim apabila mereka dilihat tidak lagi bertindak berlandaskan keimanan kepada Allah.

Kembalikan fitrah anak-anak generasi muda hari ini.

Sebagai anak muda yang masih di alam persekolahan, menuntut ilmu menjadi antara keutamaan mereka.

Matlamat yang jelas seharusnya ditanam bagi jati diri pelajar sekolah agar fokus untuk menimba ilmu demi menjadikan mereka orang yang berguna kepada agama, masyarakat dan negara.

Tugas belajar sememangnya tugas generasi muda untuk mempersiapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan.

Berleluasa isme-isme seperti liberalisme dan hedonisme yang mengganggu gugat cara berfikiran anak-anak muda Muslim perlu dihindari.
Ini bagi membolehkan mereka tidak lalai dengan keseronokan dunia tanpa memahami tanggungjawab mereka sebagai khalifah di muka bumi Allah ini.

Aturkan perjalanan kehidupan anak-anak muda dengan resipi penyelesaian masalah yang dekat dengan Islam, iman dan ihsan agar mereka tidak mudah goyah dengan kealpaan duniawi.

Generasi muda yang mengucap kalimah syahadah dan mengaku beriman kepada Allah seharusnya yakin dan percaya mengenai Allah Maha Mengetahui dan Maha Melihat segala perbuatan hamba-Nya.

Mereka yang bertaqwa menjadi orang yang takut untuk berbuat maksiat dan dosa kerana mereka menyakini kebesaran Allah.

Di samping itu, perlu belajar memberi kebaikan dan kebajikan kepada orang lain bukan melakukan kejahatan dan menghukum tanpa sandaran iman.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan berihsan (menyempurnakan sesuatu dengan baik) dalam semua perkara.” (Hadis riwayat Muslim)

Konsep ihsan memerlukan kita memelihara hubungan dengan Allah dan juga hubungan baik dengan manusia.
Pergaulan dengan manusia perlu disantuni dengan baik bukan dengan herdikan lisan, apatah lagi tindakan membuli yang menyakiti fizikal orang lain.

Melalui amanah dalam menjaga hubungan sesama manusia berupaya menjadikan generasi muda hari ini sebagai generasi yang hidup dengan menghormati orang lain.

Ini merupakan interpretasi kekuatan spiritual dan kejiwaan manusia yang beriman kepada Allah tanpa rasa ‘koyak’ dengan kehidupan yang tersasar daripada iman dan Islam.
—————————————————————————————————————————————————————————————-
DR. ROSMAWATI MOHAMAD RASIT ialah Ketua Jaringan Industri dan Komuniti Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI