ALOR GAJAH – Sepasang suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membeli dua ekor kucing parsi menggunakan wang palsu, dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohammad Norkieflee Abdul Raheem, 22, dan isterinya, Nurul Farah Syafiqah Abdul Aziz, 24, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Afizi Othman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama telah menggunakan wang palsu sebanyak 53 keping bernilai keseluruhan RM2,500 untuk membeli dua ekor kucing parsi.
Tindakan itu dilakukan tertuduh pada pukul 2.25 pagi di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh pada 11 Disember lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Terdahulu, Mohammad Norkieflee yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar hukumannya dan isteri diringankan dengan alasan dia tidak mengetahui wang tunai terbabit adalah palsu, malah ia didapati hasil daripada permainan judi dalam talian.
Tambahnya, ketika kejadian dia turut membawa ketiga-tiga anaknya berusia antara 2 sehingga 5 tahun yang teruja untuk membela kucing berkenaan.
Selepas mendengar rayuan tersebut, mahkamah kemudian menolak pengakuan bersalah yang dibuat pasangan itu kerana ia telah menjadi pengakuan bersyarat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nur Nadia Mohamed Iqbal kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM20,00 dikenakan terhadap setiap seorang.
Afizi membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 setiap seorang dan menetapkan tarikh 28 Januari tahun hadapan sebagai sebutan semula kes. Tertuduh bagaimanapun gagal membayar jaminan tersebut dan dihantar ke penjara Sungai Udang. – K! ONLINE