fbpx

Haiwan juga perlu dibantu ketika banjir – Saiful Apek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELAWAK Saiful Apek mengingatkan orang ramai agar turut menjaga kebajikan haiwan yang turut terkesan disebabkan banjir.

PETALING JAYA – Pelawak dan juga penyanyi Saiful Apek meluahkan rasa prihatin dan kasihan terhadap haiwan yang juga menjadi antara mangsa bencana banjir yang melanda di beberapa buah negeri di tanah air sejak minggu lalu.

Ketika ditemui Kosmo! Online, Saiful atau nama lengkapnya Mohd. Saifulazam Mohammad Yusof berkata, tatkala masyarakat serta pihak berwajib kini bertungkus lumus membantu insan yang berdepan dengan musibah banjir besar, dia menyeru orang ramai supaya tidak mengabaikan kebajikan haiwan yang juga memerlukan perhatian dan bantuan.

“Ketika negara dilanda musibah banjir, selain menghulurkan bantuan sesama manusia, kita jangan lupa memberikan pertolongan untuk haiwan-haiwan. Mereka juga berhak dibantu.

“Saya merupakan seorang pencinta haiwan terutamanya kucing sama seperti ibu saya. Kalau nak tahu, saya ada impian suatu hari nanti untuk membuka sebuah ‘safari kucing’ jika diberi kesempatan,” kata Saiful.

Ujar pelakon filem Duyung itu lagi, ada sesetengah masyarakat mungkin melihat haiwan itu hanya sekadar ‘haiwan’ sehingga tidak ada timbul rasa kasihan.

“Kita jangan lupa bahawa Rasulullah SAW juga merupakan seorang pencinta haiwan terutamanya kucing. Selain melakukan misi bantuan kemanusiaan, ada sesuatu juga yang kita perlu perjuangkan iaitu hak haiwan.

“Baru-baru ini, saya ada menonton sebuah video seekor kucing bunting ‘mati’ kerana lemas dalam kejadian banjir dan cuba diselamatkan dengan memberi bantuan pernafasan kepadanya. Saya rasa sangat kasihan dan berdebar-debar.

“Tapi dengan kuasa dan izin Allah SWT, kucing tersebut kembali bernafas dan dapat diselamatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Saiful yang ditemui ketika majlis pelancaran produksi filem Jaga-Jaga Senariounion di KBK Homestay, Beranang, Selangor, malam tadi berharap agar masyarakat sedar tentang perkara tersebut supaya tidak mengabaikan kebajikan dan tanggungjawab ke atas haiwan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI