fbpx

JKKP siasat pekerja maut terjatuh di pusat beli-belah di JB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pekerja warga Bangladesh maut selepas terjatuh dari ketinggian 5 meter akibat terpijak 'glass panel' sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru, 19 Disember lalu.

JOHOR BAHRU – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor akan mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang didapati cuai sehingga menyebabkan seorang pekerjanya maut akibat terjatuh daripada tempat tinggi ketika bekerja.

Pengarah JKKP Johor, Husdin Che Amat berkata, kejadian itu berlaku di pusat beli belah di Johor Bahru, di sini pada pukul 10.45 malam, 19 Disember lalu.

Katanya, pekerja yang maut merupakan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 27 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa bekerja sebagai pekerja am ditugaskan melakukan kerja memasang silikon pada ‘glass panel’ bagi tujuan memasang bumbung kaca di kawasan Rooftop Level 3A, pasar raya tersebut.

“Rakaman CCTV menunjukkan mangsa yang bekerja berseorangan sedang berjalan di atas glass panel yang dipasang tanpa memakai ‘body harness’

“Mangsa telah terpijak ‘glass panel’ yang belum siap dipasang dan terjatuh ke atas ‘louvers’ sebelum jatuh ke lantai dengan ketinggian lebih kurang 5 meter,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Husdin, susulan itu pihaknya telah mengeluarkan Notis Larangan kepada majikan supaya menghentikan semua kerja pemasangan bumbung kaca dengan serta-merta sehingga siasatan lengkap dijalankan.

“Majikan juga diarah melakukan penambahbaikan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan bagi kerja-kerja di tempat tinggi termasuk mengadakan prosedur kerja selamat dan penaksiran risiko serta pelaporan kemalangan maut yang telah berlaku ke Jabatan.

“Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat perlanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu risiko itu boleh dikurangkan jika majikan menggunakan instrumen sistematik yang terdiri daripada tiga proses utama, iaitu pengenalpastian risiko, penaksiran risiko dan kawalan risiko (HIRARC).-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI