PETALING JAYA – Seorang pakar bedah Bariatrik mendedahkan kajian mengatakan cara seseorang itu menyikat rambut menentukan perwatakan mereka.
Dr. Gafoor Mubarak melalui perkongsian di laman TikToknya berkata, beberapa kajian mendapati apabila seseorang itu menyikat rambut dengan cara belah tepi, ia menunjukkan bahagian otak yang mana individu itu sering gunakan.
“Ada beberapa kajian menunjukkan bahawa cara kita sikat rambut itu menentukan perwatakan kita.
“Dan mereka yang sikat tepi sama ada ke kiri atau ke kanan, mereka kata mungkin merujuk lebih kepada bahagian mana otak kita yang banyak digunakan,” katanya.
Katanya, kajian juga ada mengatakan bahawa mereka yang sikat tengah pula menunjukkan bahawa mereka mempunyai watak yang tenang dan mempunyai daya fikiran analitik.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan kajian-kajian itu, perwatakan setiap individu tidak boleh dinilai berdasarkan gaya rambut semata-mata.
“Ini semua hipotesis-hipotesis, kami tidak tahu sama ada benda ini terbukti ataupun tidak tetapi yang saya tahu dan saya pasti adalah, mereka yang suka menyikat rambut tepi itu bukanlah semuanya jahat.
“Jadi, janganlah kecam mereka hanya kerana ada seorang dua yang mungkin jahat sedikit,” ujarnya.
Baru-baru ini di media sosial, hangat diperkatakan mengenai penampilan lelaki yang menyikat rambut dengan gaya belah tepi.
Isu tersebut dibangkitkan gara-gara tular video seorang lelaki dengan penampilan seperti itu yang diserang oleh isterinya kerana dipercayai berlaku curang. – K! ONLINE