JAGUH 110 meter (m) lari berpagar negara, Rayzam Shah Wan Sofian akhirnya boleh bersara dengan tenang sebaik berakhirnya kalendar sukan olahraga tahun depan apabila dia sudah menemui pengganti terbaik buat dirinya.
Rayzam yang akan genap usia 34 tahun pada 11 Januari nanti, pernah menyatakan hasrat mahu bersara selepas 15 tahun menabur bakti sejak mula mewakili Malaysia dalam Kejohanan Remaja Asia dan Remaja Dunia pada 2006.
Pemenang dua pingat emas dan empat perak Sukan SEA itu menganggap Benedict Ian Gawok mempunyai potensi untuk menyinar selepas mula menjalani latihan di bawah bimbingannya di Sabah sejak September lalu.
“Benedict menunjukkan banyak peningkatan. Catatan masanya juga cukup bagus dan dia hampir-hampir kalahkan saya pada Kejohanan Olahraga Tertutup Kebangsaan di Bukit Jalil hujung minggu lalu.
“Dia lakukan 13.9 saat (s) catatan tangan, kalau catatan elektronik mungkin dalam 14.1s. Kalau dia terus tunjukkan peningkatan, saya boleh berehatlah nanti.
“Sekarang saya lihat dia berada di landasan tepat. Dia juga miliki saiz badan yang ideal untuk acara ini. Kalau semuanya bagus, dia boleh jadi pengganti saya,” kata Rayzam ketika dihubungi Kosmo! semalam.