LONDON – Real Madrid dilaporkan sedang memantau secara dekat perkembangan pemain pertahanan tengah Liverpool, Joe Gomez untuk melihat potensi perpindahannya ke Santiago Bernebeu.
Biarpun keutamaan kelab itu untuk mendapatkan bintang Paris Saint-Germain, Kylian Mbappe, namun mereka sedar bahawa benteng pertahanan mereka juga perlu ditambah baik selepas kehilangan Sergio Ramos dan Raphael Varane musim panas lalu.
Biarpun dilanda masalah kecederaan panjang musim lalu, Gomez kembali menjadi tonggak penting skuad kendalian Jurgen Klopp musim ini.
Selain itu, Gomez turut dikaitkan dengan perpindahan ke Aston Villa, namun ia sekadar khabar angin apabila tidak ada sebarang rundingan diadakan.
Bagaimanapun, Klopp dilaporkan sanggup bersabar untuk Gomez kembali mendapatkan tahap kecergasan terbaik dan menemui sentuhannya semula berbanding melepaskannya pergi meninggalkan Anfield.
Ketika penularan Covid-19 kembali hebat melanda England sehingga menjejaskan saingan Liga Perdana Inggeris, Klopp pastinya tidak berani melepaskan Gomez terutama apabila seorang lagi pemain mereka, Virgil Van Dijk disahkan positif.
Situasi itu menyebabkan Klopp terpaksa menurunkan Gomez untuk bergandingan bersama Ibrahima Konate untuk tempoh beberapa minggu akan datang.
Selain Gomez, Real turut dilaporkan sedang mengadakan rundingan bersama pemain pertahanan Chelsea, Antonio Rudiger, Jules Kounde dari Sevilla serta bek tengah Villarreal, Pau Torres
Mereka juga turut menamakan pemain pertahanan Juventus, Matthijs De Ligt sebagai prospek untuk di bawa ke Madrid. – AGENSI