JOHOR BAHRU – Seorang wanita berusia 67 tahun sanggup berkorban masa dan tenaga menjaga adiknya yang diserang penyakit angin ahmar sejak tiga bulan lalu di rumahnya di Pangsapuri Permas Jaya, Bandar Baru Permas Jaya di sini.
Salbiah Mahmood, 67, berkata, kehidupan adiknya, Mariam, 66, berubah sekelip mata setelah anak sulung wanita itu, Hisham Mahadun, 48, meninggal dunia disebabkan asma pada April lalu.
Menurut Salbiah, adiknya yang tinggal bersama menantu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara di sini dijangkiti Covid-19 sehingga terpaksa dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini bagi mendapatkan rawatan.
“Dalam masa dua bulan dimasukkan ke hospital, adik saya (Mariam) disahkan menghidap penyakit angin ahmar sehingga lumpuh sebelah badan bahagian kanan. Dia kini hanya terlantar atas katil.
“Apabila pihak hospital membenarkan dia dibawa pulang, saya mengambil tanggungjawab untuk menjaganya memandangkan menantu dan cucunya masih dalam tempoh kuarantin,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Salbiah yang hanya bergantung pendapatan hasil jualan nasi lemak di bawah pangsapurinya tidak pernah merungut menjaga adiknya biarpun pada masa sama perlu menguruskan suaminya, Mat Top Aman, 66, yang mempunyai penyakit prostat.
Tambahnya, hasil jualan nasi lemak yang diperoleh sebanyak RM30 hingga RM40 sehari mencukupi untuk menampung kehidupan mereka berempat termasuk seorang anak angkat perempuan berusia 18 tahun.
“Sejak adik saya diserang angin ahmar, dia tidak mampu bertutur dan memberi sebarang reaksi kecuali terbaring. Saya yang menguruskan keperluannya seperti menukar lampin pakai buang, mengelap badan dan memberi susu khas setiap empat jam,” katanya.
Salbiah menjelaskan, dia memerlukan sebanyak RM500 untuk membeli lima tin susu formula sebulan dan RM200 pula diperuntukkan untuk membeli 10 pek lampin pakai buang dalam tempoh sama.
“Adik saya sepatutnya menjalani fisioterapi di HSA, namun disebabkan kami tinggal di tingkat empat dan tiada kenderaan, maka hasrat tersebut terpaksa dilupakan. Insya-Allah selagi ada kudrat, saya akan terus menjaganya dan suami,” katanya.
Tambah Salbiah, setakat ini mereka pernah pernah terputus makanan kerana jiran dan penduduk setempat selalu membantu selain menerima bantuan Baitulmal Majlis Agama Islam Johor sebanyak RM300 sebulan.
Sementara itu, nasib yang menimpa keluarga Salbiah mendapat perhatian Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam yang tampil menghulurkan sumbangan berupa barangan keperluan termasuk lampin pakai buang dan susu khas bernilai RM1,000.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Salbiah di talian 019-9422872 atau terus menyalurkan ke akaun Bank Islam bernombor 01014025234948.