KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu meminta kontraktor utama projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction (CCC) memudahkan pemberian kontrak pembinaan projek tersebut kepada syarikat tempatan khususnya di negeri itu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, CCC dari China telah mengenakan kaedah pemberian kontrak kerja projek ECRL sangat ketat yang sukar dipenuhi syarikat-syarikat tempatan.
“Harga yang ditetapkan CCC untuk sesuatu kontrak projek pembinaan terlalu rendah menyebabkan syarikat-syarikat tempatan tidak mampu bersaing dengan bidaan firma gergasi luar negara yang mempunyai kemampuan memperoleh bahan mentah dengan kos lebih murah.
“Akhirnya tiada syarikat tempatan pun yang mampu memperoleh kontrak kerja ECRL walaupun 40 peratus projek pembinaan tersebut di Terengganu bernilai kira-kira RM3 bilion telah diperuntukkan kepada syarikat tempatan,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Konsortium bagi projek ECRL di sini hari ini.
Perjanjian itu melibatkan Ahmad Zaki Sdn. Bhd. dengan GPQ Sdn. Bhd. serta MMC Engineering Sdn. Bhd. dengan P-Excell Management Sdn. Bhd.
Kesemua syarikat diwakili Pengarah Urusan Ahmad Zaki, Datuk Wan Zulkifli Wan Muda, Pengerusi GPQ, Dr. Mamad Puteh, Ketua Pegawai Eksekutif MMC Engineering, Mohd. Abdul Fatah Endut dan Pengerusi P-Excell Management.
Ahmad Samsuri berkata, CCC harus mempertimbangkan aspek lokaliti terhadap pemberian kontrak ECRL kerana penglibatan dalam projek mega itu bukan berpaksikan keuntungan semata-mata tetapi memberi pengalaman dan pemindahan teknologi yang bermanfaat besar kepada syarikat tempatan.
Dalam perkembangan sama, pembentukan konsortium melibatkan empat syarikat tempatan termasuk dua dari Terengganu itu menunjukkan keseriusan untuk membida kontrak projek ECRL berkenaan. – K! ONLINE