MESKIPUN telah wujud lebih lima dekad lalu, nama Bukit Katak hanya mula menjadi sebutan khususnya dalam kalangan penggemar fotografi sejak lima atau enam tahun lepas.
Terletak berhampiran Kampung Guar Petai di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, Bukit Katak dianggap unik kerana air di dalam kawasan tasik dan kolam kecilnya seakan-akan biru kehijauan pada masa tertentu atau jika dilihat dari pandangan atas.
Justeru, tidak hairanlah jika ia diberi jolokan Danau Toba Mini sempena nama lokasi percutian popular di Indonesia itu.
Menurut penduduk setempat, Bukit Katak merupakan bekas tapak kuari dan tanahnya juga pernah diambil untuk tujuan pembangunan.
Ketika ini, kawasan itu menjadi tumpuan dalam kalangan penggemar aktiviti lasak seperti berbasikal dan mendaki, selain pasangan pengantin khususnya yang ingin mengabadikan kenangan indah mereka dalam bentuk potret unik.
Selain itu, ada yang datang ke sini semata-mata untuk berkelah dan menikmati keindahan alam serta memancing dan sebagainya.
Bagaimanapun, pengunjung tidak digalakkan untuk mandi-manda khususnya di tasik atau kolam yang berwarna kerana dikhuatiri berbahaya untuk kesihatan.
Bagi Mohd. Khairil Mohd. Affendi, 18, dari Kulim, Kedah, ini kali pertama dia mengunjungi Bukit Katak selepas berhasrat untuk ke situ sejak kisah tasik dan kolam kecil itu ditularkan di laman sosial sebelum ini.
“Tak sangka jadi juga datang ke sini walaupun saya dan rakan-rakan hanya merancang untuk secara spontan pada sebelah pagi,” katanya yang kelihatan begitu teruja untuk bergambar di situ.
Rakannya, Mohd. Amin Mohd. Nor Zambri, 18, pula amat berpuas hati kerana dapat bergambar di situ dan berharap agar kerajaan negeri berusaha untuk memajukan kawasan tumpuan itu menjadi salah satu lokasi tarikan pelancong pada masa depan.
“Pada pendapat saya, cukuplah jika laluan keluar dan masuk ke sini ‘diperelokkan’, selain disediakan kawasan untuk pengunjung ‘melepaskan hajat’ masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung, Jeremy Koo, 35, dari Ipoh, Perak, berkata, dia hampir tersesat ketika dalam perjalanan untuk ke Bukit Katak walaupun menggunakan aplikasi Waze sebagai panduan.
“Rupa-rupanya jalan utama yang ditunjukkan dalam Waze tidak dapat dilalui pada masa ini.
“Apapun, saya rasa berbaloi kerana dapat sampai juga ke sini walaupun agak terlewat kerana pemandangannya sangat cantik.
“Saya sangat berpuas hati. Perjalanan jauh ‘berbaloi’ selepas melihat pemandangan indah di sini ,” katanya yang ditemani isterinya, Susan Koo, 32.