JOHOR BAHRU – Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri antara yang terawal hadir memberi penghormatan kepada bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian yang meninggal dunia di Kuala Lumpur, malam semalam.
Kediaman Allahyarham di Jalan Sentosa, Kampung Dato’ Onn, Larkin di sini menjadi tumpuan seawal pukul 10 pagi apabila rakan daripada kepimpinan kerajaan negeri dan juga pemimpin politik hadir.
Antara yang hadir memberi penghormatan termasuklah Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Nasir dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.
Selain mereka, turut hadir termasuklah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh; ADUN Semerah, Mohd. Khuzzan Abu Bakar; ADUN Kota Iskandar, Dzulkefly Ahmad; ADUN Paloh, Sheikh Umar Bagharib Ali dan ADUN Johor Jaya, Liow Cai Tung.
Terdahulu, Osman, 70, yang juga merupakan ADUN Kempas itu menghembuskan nafas terakhir di kediaman anaknya di Damansara, Kuala Lumpur pada pukul 11.45 malam tadi. Perkara tersebut disahkan abang Allahyarham, Datuk Aziz Sapian.-K! ONLINE