KEENAKAN nasi kandar yang dihidangkan dengan nasi panas, kuah banjir dan gabungan lauk-pauk pelbagai pilihan menjadi tarikan buat peminatnya.
Menu tersebut biasanya sinonim dengan negeri Utara terutamanya di Pulau Pinang.
Namun bagi memenuhi cita rasa yang diolah dengan resipi dan gabungan selera Negeri Sembilan, menjadikan hidangan nasi kandar angau berbeza daripada yang lain.
Sekali cuba, pasti membuatkan pelanggan ‘angau’ atau teringat-ingat untuk menikmati nasi kandar versi Melayu itu di restoran yang diberikan nama yang sama dengan hidangan tersebut di Seremban, Negeri Sembilan.
Restoran Nasi Kandar Angau itu diusahakan pasangan suami isteri Faridah Hussin, 59, dan Mohd. Ayob Shariff, 62, yang mempunyai 13 tahun pengalaman dalam bidang masakan.
Faridah berkata, kesukaran mendapatkan nasi kandar versi Melayu yang sedap dan sesuai dengan selera masyarakat tempatan menjadi inspirasi kepadanya untuk mengolah resipi sedia ada dengan suntikan elemen masakan Negeri Sembilan.
“Alhamdulillah, pelanggan yang datang suka dengan masakan di sini. Bezanya kami menghidangkan nasi berwarna kuning, kuah campur dan lauk seperti ayam goreng panas, daging hitam, kari ikan bawal, kari kambing, sotong dan lain-lain.
“Melihat pelanggan menikmati makanan yang dihidangkan serta memberi maklum balas positif, satu kepuasan bagi saya,” katanya ketika ditemui di restoran itu baru-baru ini.
Menurutnya, sesuai dengan nama hidangan itu, beliau berharap pelanggan ‘jatuh cinta’ dengan masakannya dan berkunjung semula ke restoran selepas sekali mencuba.
“Walaupun cukup ringkas, set nasi kandar ayam goreng berempah panas-panas menjadi pilihan utama, selain kari kambing dan kari ikan bawal.
“Terdapat juga menu tambahan seperti telur sotong, telur ikan dan sotong pada harga minimum, selain pelanggan boleh memilih hidangan secara set,” ujarnya.
Menu set penuh nasi kandar ayam, dihidangkan dengan nasi kuning, kuah campur, ayam goreng, sayur, telur masin, bendi dan cili hijau boleh dinikmati pada harga RM10 sahaja.
Set penuh daging hitam pada harga RM12, set penuh kari kambing (RM13) dan set penuh kari ikan bawal (RM14 hingga RM18 mengikut saiz serta harga pasaran).
Jelas Faridah, kepuasan pelanggan merupakan perkara yang sangat dititikberatkan, selain harga berpatutan.
Hidangan sotong di restoran itu dijual pada harga RM6 hingga RM14 mengikut saiz.
Walaupun baru setahun beroperasi, kata Faridah, sambutan diterima amat menggalakkan dan ada pelanggan sanggup datang dari jauh termasuk Putrajaya, Kuala Lumpur dan Kedah untuk merasai penangan nasi kandar angau.
“Pelanggan kata nasi kandar angau mempunyai keunikan tersendiri, lain daripada yang di Utara,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Ayob berkata, dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, sambutan yang diterima amat baik.
“Walaupun tidak boleh makan di kedai, ramai pelanggan sanggup beratur panjang untuk bungkus, selain membuat pesanan melalui aplikasi Grab Food.
“Dalam keadaan kelonggaran diberikan kerajaan ketika ini, ramai yang datang di kedai untuk merasai nasi kandar panas-panas dan melihat sendiri pelbagai pilihan menu yang ada,” ujarnya.