fbpx

Kewarganegaraan automatik: mahkamah tolak permohonan kerajaan tangguh perlaksanaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan sementara perlaksanaan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kewarganegaraan automatik diberikan kepada kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama-sama Datuk S. Nantha Balan dan Datuk See Mee Chun apabila mendapati tiada keadaan istimewa yang membolehkan penangguhan tersebut diberikan sementara menunggu rayuan didengar.

“Kami berpendapat bahawa kes ini bukanlah satu kes biasa yang membabitkan barangan atau wang ringgit. Ia membabitkan hak seorang kanak-kanak dan hak ini telah dinyatakan dalam perintah Mahkamah Tinggi.

“Responden tidak seharusnya dinafikan daripada mendapat faedah rentetan perintah Mahkamah Tinggi tersebut. Sekiranya pihak perayu berjaya dalam rayuan dan dapat membatalkan perintah mahkamah, maka ini bermakna status warganegara akan ditarik balik.

“Ini adalah risiko yang responden ketahui dan penarikan balik status warganegara itu juga bukanlah satu keadaan istimewa. Kami tidak dapat melihat bagaimana rayuan yang akan didengar nanti akan menjadi sisa-sia sekiranya penangguhan tidak diberikan,” kata Hakim Kamaludin.

Berdasarkan isu kemungkinan timbulkan komplikasi sekiranya rayuan dibenarkan, panel terbabit menyatakan perayu yang terdiri daripada Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, boleh memohon perintah berkaitan bagi membatalkan perintah Mahkamah Tinggi.

Pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian, perayu diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin manakala Association of Family Support and Welfare Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) dan enam ibu rakyat Malaysia yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan tersebut diwakili peguam, Datuk Dr. Gurdial Singh Nijar.

Pendengaran penuh rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu akan didengar pada 23 Mac 2022.

Pada tarikh tersebut Mahkamah Rayuan akan turut mendengar satu lagi kes kewarganegaraan yang melibatkan seorang wanita yang dilahirkan di luar negara beribukan warganegara Malaysia.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI