fbpx

Versi asal audit 1MDB tidak dimusnahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib ketika tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak memusnahkan versi asal Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Madinah, 65, yang merupakan saksi pendakwaan ke-12 berkata berliau tidak berbuat demikian berikutan ia merupakan laporan yang mengandungi maklumat dan bukti material mengenai 1MDB.

“Merujuk kepada Dokumen Laporan Pengauditan 1MDB, bertanda ‘watermark 09’ (asal), saya sahkan bahawa laporan 1MDB yang dimuktamad yang telah ditunjukan oleh Nor Salwani Muhammad (Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) Jabatan Audit Negara (JAN) kepada saya.

“Saya sahkan ‘watermark 09′ yang terdapat di atas setiap muka surat laporan ini menandakan ianya laporan yang kesembilan daripada ke-10 yang mana ia merupakan salinan yang dimuktamadkan,” kata saksi itu.

Ujar saksi itu,  Nor Salwani ada memaklumkan kepadanya bahawa dia menyimpan salinan asal Laporan Pengauditan 1MDB ini bagi tujuan untuk mendapatkan arahan Ketua Audit Negara yang baharu (Madinah).

Arahan itu berhubung sama ada laporan akhir tersebut patut dimusnahkan ataupun tidak kerana ia mengandungi maklumat dan bukti material mengenai 1MDB.

“Semasa perjumpaan dengan Nor Salwani, saya juga mendapat tahu bahawa Laporan Pengauditan 1MDB telah dicetak dua kali. Kali pertama ia dicetak pada awal 2016. Selepas cetakan ini dibuat, isi kandungan laporan ini telah diubah dengan menggugurkan beberapa perenggan dan kemudian dicetak sekali lagi untuk kali kedua pada 2 Mac 2016,” katanya.

Mengulas lanjut dalam pernyataan saksinya, Madinah berkata ketika itu (2016), Laporan Pengauditan 1MDB adalah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88). Justeru, beliau tidak dapat mendedahkan kewujudan dua versi Laporan Pengauditan 1MDB kepada mana-mana pihak.

“Bagaimanapun pada 15 Mei 2018, saya telah mengklasifikasikan semula Laporan Pengauditan 1MDB sebagai dokumen terbuka berikutan kenyataan media Perdana Menteri (ketika itu Tun Dr.Mahathir Mohamad) pada 14 Mei 2018 yang mengarahkan laporan tersebut diklasifikasikan semula sebagai dokumen terbuka,” ujar saksi itu lagi.

Saksi itu memberitahu, sekitar masa itu juga, beliau telah mengarahkan satu salinan Laporan Pengauditan 1MDB watermark ’09’ diserahkan kepada Majlis Penasihat Kerajaan (Council of Emminent Persons) dan salinan turut diserahkan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada 3 Ogos 2018 dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 16 Ogos 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung lagi petang ini.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI