fbpx

Pemergian Osman Sapian kehilangan besar buat Bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Osman Sapian

JOHOR BAHRU – Pemergian bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, 70, yang menghembuskan nafas terakhir malam tadi merupakan suatu kehilangan besar kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Setiausaha Bersatu Negeri Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang tegas namun beliau amat disenangi oleh rakan-rakan di arena politik serta berdedikasi dalam melaksanakan setiap tugas yang diamanahkan.

Beliau berkata, Badan Perhubungan Bersatu Negeri Johor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Osman yang telah kembali ke Rahmatullah.

“Pemergian Allahyarham yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Bersatu Johor ini amatlah dirasai dan merupakan suatu kehilangan besar kepada parti.

“Sejak daripada awal penubuhan parti Bersatu terutama di Negeri Johor, jasa Allahyarham kepada parti amatlah besar. Begitu juga sumbangannya sepanjang menjadi wakil rakyat kepada agama, bangsa dan tanah air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Besar Johor itu dilaporkan meninggal dunia di kediaman anaknya di Kuala Lumpur pada pukul 11.45 malam tadi.

Perkara tersebut disahkan abang kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu, Datuk Aziz Sapian.

Sebelum ini, pada 13 Oktober lalu, Osman dikejarkan ke Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) Johor kerana diserang strok ringan.

Osman kemudiannya dipindahkan ke Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) Selangor untuk mendapatkan rawatan selepas tahap kesihatannya merosot.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI