PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan terus berwaspada susulan amaran ribut petir yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) di tiga buah negeri pagi ini.
MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook berkata, hujan lebat berserta ribut petir itu dijangka melanda beberapa daerah di negeri Selangor, Johor dan Sarawak sehingga pukul 11 pagi ini.
“Keadaan itu dijangka melanda daerah Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Kuala Langat di Selangor manakala di Johor cuaca sama boleh berlaku di Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
“Selain itu, amaran ribut petir turut melibatkan negeri Sarawak yang dijangka berlaku di Limbang,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, MetMalaysia turut memaklumkan amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 200 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi tempoh satu jam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk setiap keluaran,” katanya. – K! ONLINE