PETALING JAYA – “Terbaik anak muda, meskipun dilibas dengan tali tetap mahu selamatkan pakcik tu.
Itu antara reaksi pengguna laman sosial apabila melihat klip video dua pemuda sedang menyelamatkan seorang warga emas yang cuba meredah banjir.
Menerusi klip video berdurasi satu minit empat saat itu, kelihatan seorang lelaki cuba menghulur tali kepada warga emas berkenaan bagi mengelakkan dia hanyut.
Namun ‘pertolongan’ pemuda itu mendapat reaksi kurang baik apabila warga emas tersebut telah menyentap tali berkenaan dan melibas semula lelaki terbabit.
Meskipun aksi menyelamat itu berlaku dalam suasana tegang, namun misi dua pemuda itu berakhir dengan kejayaan apabila warga emas itu berjaya dibawa pulang menaiki sebuah kenderaan.
Bagaimanapun, Kosmo! tidak mendapat maklumat lokasi sebenar klip video itu dirakam dan bila tarikh kejadian berkenaan.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna laman sosial memuji tindakan kedua-dua pemuda itu yang bertungkus-lumus menyelamatkan warga emas terbabit.
“Walaupun kena libas, tetap nak selamatkan pakcik tu, terbaik anak muda, nasib baik mereka jumpa pak cik ni kalau tidak tak tahulah apa jadi pada pakcik ni,”tulis Hisham Meru.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Lily Lily.
“Nampak macam pakcik itu dementia (nyayuk). Terima kasih kerana selamatkan dia, mesti ahli keluarga dia risau dan tercari-cari,” ujarnya.- K! ONLINE.