TEMERLOH – Situasi banjir yang berlaku di negeri ini bertambah buruk bagai mengulangi tragedi banjir besar 1971 apabila bandar Mentakab di sini ditenggelami air sejak semalam.
Jika sebelum ini, ketika bah besar pada 2014 hanya kampung-kampung berhampiran sahaja ditenggelami air, namun kali ini bandar berkenaan tidak ubah seperti lautan.
Seorang penduduk Rosedi Othman, 68, berkata, banjir kali ini yang turut menenggelamkan keseluruhan bandar adalah yang terburuk sejak sekian lama.
“Di Mentakab ini adalah yang terburuk kalau dibandingkan dengan banjir besar pada 1971, kali ini seluruh bandar dan rumah di kawasan tinggi kampung saya juga tenggelam.
“Rumah saya sudah tidak kelihatan kerana telah ditenggelami air begitu juga penduduk lain,” katanya yang tinggal di Kampung Batu Kapor di sini.
Penduduk lain, Alice Tee, 35, berkata, dia tidak menyangka banjir kali ini menenggelamkan bandar Mentakab memandangkan pada 2014 hanya sedikit sahaja kawasan bandar dinaiki air.
Katanya, air naik begitu cepat menyebabkan dia tidak sempat untuk menyelamatkan barangan berharga dan menumpang di rumah saudaranya.
“Pada masa ini air di kawasan rumah naik sehingga paras kepala, saya cuma mampu berharap air akan cepat surut,” luahnya.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Temerloh, Mohd. Ikram Haron berkata, setakat ini bandar Mentakab terjejas teruk berbanding Temerloh.
“Bah di Mentakab adalah dari limpahan air Sungai Semantan yang dibawa dari Bentong,” ujarnya.
Menyoroti sejarah 50 tahun dahulu, negara pernah digemparkan dengan satu tragedi banjir besar yang dianggap terburuk dalam lipatan sejarah negara selepas hujan berlarutan hampir seminggu.
Keadaan itu menyebabkan paras air di Sungai Pahang meningkat dan melimpah sehingga tercetusnya banjir besar pada awal Januari 1971.