PENYANYI Judika merupakan salah seorang artis yang merayakan sambutan Hari Krismas.
Bagaimanapun, pada tahun ini, dia memilih menyambut perayaan tersebut bersama keluarga kecilnya di rumah.
Kata penyanyi lagu Jadi Aku Sebentar Saja itu, dia masih takut dengan penyebaran wabak Covid-19 dan tidak mahu merisikokan keluarganya.
“Selalunya saya akan meraikan perayaan Krismas bersama keluarga dan sanak-saudara. Paling tidak, kami semua akan bercuti di tempat-tempat menarik.
“Tetapi pada tahun ini, saya cuma meraikannya bersama isteri dan anak-anak di rumah. Covid-19 masih wujud dan saya tidak mahu meletakkan keluarga dalam bahaya,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi asal Medan itu berkata, dia sudah pun mempersiapkan segala keperluan untuk sambutan Hari Krismas yang akan disambut pada 25 Disember nanti selain ingin mengajar dua orang anaknya tentang makna sebenar perayaan tersebut.