fbpx

‘Air sungai jadi macam lautan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk kelihatan membersih rumah mereka yang dipenuhi lumpur akibat banjir lumpur di Taman Chegar Medang, Bentong semalam.

BENTONG – “Air mata kami tidak dapat kembalikan rumah yang musnah akibat kejadian banjir ini.”

Demikian luahan seorang penduduk di Taman Chegar Medang yang dikenali sebagai Mak Lang atau nama sebenarnya Yuroba Yakob, 52, yang menyifatkan kejadian terbabit merupakan terburuk yang pernah melanda kawasan tersebut.

“Bayangkan, air sungai sudah macam air laut setinggi dua tingkat yang bergelora. Air sudah hampir melepasi bumbung rumah, kami hanya fikir untuk menyelamatkan nyawa sahaja tidak sempat mengambil bara­ngan peribadi seperti dokumen peribadi dan sebagainya.

“Saya tinggal di kawasan ini sejak 26 tahun lalu, kejadian itu paling dahsyat yang pernah dialami, kedai makan saya yang diusahakan sejak 10 tahun lalu juga musnah. Saya kini tinggal sehelai sepinggang dengan kerugian le­bih RM50,000.

“Mujur pada hari kejadian, saya dan tiga anak sempat menyelamatkan mak mentua berusia 80-an yang terlantar sakit di atas katil. Air mata saya sudah tidak boleh mengembalikan rumah ini.

“Saya bersama anak-anak juga terpaksa berjalan lebih 200 meter untuk mencari barangan yang dihanyutkan air deras. Mana yang boleh pakai kami simpan, mana yang tidak boleh pakai kami letakkan di satu tempat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Sementara itu, seorang lagi penduduk yang bekerja di Jabatan Pengangkutan Jalan Bentong, Nordin Mohd. Rashid, 55, berkata, hujan telah melanda kawasan ini sejak Khamis lalu dan tidak berhenti sehingga Ahad lalu.

“Pada Ahad lalu kira-kira 7 petang, siren kecemasan telah berbunyi dan air juga sudah mulai naik sehingga ke paras lutut, kami semua berada dalam ke­adaan panik dan hanya mampu berdoa untuk mengharungi banjir ini.

“Air dipercayai dari Janda Baik telah turun ke Sungai Raub menyebabkan aliran air mengalir di kawasan kami, tidak sampai 15 minit, air sudah di paras dada. Kami terpaksa membantu antara satu sama lain untuk menyelamatkan diri ke tempat lebih tinggi,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI