fbpx

Jadual tersusun buat pemain musim depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lee Zii Jia
MUHAMMAD HELMEE RAMLI, WARTAWAN EKSEKUTIF

KALENDAR kejohanan badminton bagi musim 2021 akhir­nya melabuhkan tirai dengan Kejohanan Badminton Dunia di Huelva, Sepanyol yang tamat 19 Disem­ber lalu menjadi aksi ter­akhir tahun ini.

Jika disingkap kembali prestasi pemain-pemain negara, terutamanya yang berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), ada banyak boleh diperkatakan.

Penulis dapat merumuskan pencapaian kem badminton kebangsaan sepanjang 2021 boleh dianggap membanggakan apabila ada beberapa pemain yang berjaya mencatat kejayaan dalam kejohanan-kejohanan besar.

Sebagai contoh, perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia yang berjaya memenangi kejohanan Seluruh England (All England) serta pencapaian beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik me­rangkul pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Tidak dinafikan, lebih ba­nyak kejohanan yang disertai, maka lebih banyak mata kejohanan dikumpul bagi membantu pemain-pemain memperbaiki kedudukan mereka dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Bagaimanapun, prestasi pemain-pemain negara sedikit me­rudum pada penghujung musim selepas menyertai banyak kejohanan secara berturut-turut sejak saingan Piala Sudirman hujung September lalu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan kejohanan berterusan tanpa rehat yang mencukupi bukan sahaja memberi kesan terhadap fizikal pemain, malah mental juga mungkin terganggu.

Bekas pemain No.1 dunia, Muhammad Roslin Hashim memberikan cadangan kepada BAM supaya dikaji semula tindakan menghantar pemain-pemain menyertai lebih daripada dua kejohanan berturut-turut.

Walaupun beliau faham tindakan badan induk sukan badminton negara itu adalah untuk membantu para pemain memperbaiki ranking serta menjimatkan kos, namun ia menyebabkan pemain tidak sempat untuk memulihkan stamina sepenuhnya.

“Memang betul tindakan BAM sebab dapat berjimat dari segi kos, kalau balik ke Malaysia selepas Piala Sudirman mereka kena kuarantin dan rugi dari segi masa dan sebagainya.

“Macam zaman saya dahulu, memang ada kejohanan berturut-turut di Eropah, paling ba­nyak pun tiga. Itu pun dah ‘koyak’ tetapi terpaksa sebab nak perbaiki ran­king.

“Tindakan BAM mungkin kerana banyak kejohanan batal sebab Covid-19, kita faham tetapi penat buat pemain untuk beraksi lebih dua kejohanan berturut-turut,” katanya.

Justeru, penulis berpendapat, ada baiknya jika BAM merencanakan jadual lebih tersusun apabila saingan Jelajah Dunia kembali bersambung musim depan dalam memastikan pemain-pemain mampu menampilkan aksi lebih berkualiti.

Saingan musim depan dijangka lebih sukar memandangkan banyak kejohanan bakal berlangsung termasuk temasya Sukan SEA Vietnam, Sukan Komanwel Birmingham, Sukan Asia Hangzhou serta Piala Thomas.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann juga me­ngakui tidak mungkin akan membenarkan pemain-pemain beraksi lebih daripada dua kejohanan berturut-turut sekiranya dalam keadaan biasa.

“Sekiranya bukan kerana Co­vid-19, kami tidak benarkan para pemain untuk beraksi lebih daripada dua kejohanan berturut-turut. Semua pemain perlu faham kami sudah cuba lakukan yang terbaik untuk mereka,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI