MANCHESTER – Pemain tengah Manchester United, Jesse Lingard dilaporkan bersedia untuk terus kekal di Old Trafford dan merebut peluang berada dalam kesebelasan utama skuad kendalian Ralf Rangnick itu.
Pemain berusia 29 tahun itu hanya membuat lapan penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini sebagai pemain gantian.
Ketika kontrak semasanya bakal berakhir hujung musim ini, Lingard dilaporkan bersedia untuk menerima tawaran baharu daripada United dan meneruskan kariernya bersama pasukan berkenaan.
Bagaimanapun, kehadiran Rangnick yang menggantikan Ole Gunnar Solskjaer menyebabkan Lingard dikatakan berubah fikiran dan masih percaya peluangnya untuk menembusi kesebelasan utama pasukan itu masih terbuka.
Lingard kini terdesak untuk mendapatkan minit permainan yang lebih banyak untuk memastikan peluangnya bersama skuad England ke saingan Piala Dunia 2022 di Qatar nanti.
Musim lalu, dia berjaya mempamerkan aksi memukau ketika dipinjamkan ke West Ham United apabila berjaya meledak sembilan gol dalam 16 perlawanan menyebabkan United berubah fikiran dan enggan melepaskannya pada musim panas lalu.
Biarpun dia dibenarkan untuk mengadakan perbincangan bersama pasukan lain pada Januari nanti, perkembangan ini menyaksikan Lingard mungkin memberi fokus memburu tempat dalam pasukan atau setidak-tidaknya menunggu kontraknya berakhir Jun nanti untuk berhijrah secara percuma. – AGENSI