LONDON – Juventus menjadi pasukan baharu yang sedia mencabar Barcelona dalam usaha mendapatkan penyerang Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang yang hampir pasti meninggalkan Emirates pada musim sejuk nanti.
Bintang Arsenal itu dilucutkan daripada jawatan kapten The Gunners ekoran pelanggaran disiplin selain turut ‘dibekukan’ oleh pengurus mereka, Mikel Arteta daripada menyertai sesi latihan skuad utama.
Aubameyang tersisih daripada aksi bersama Arsenal sejak tiga perlawanan lalu ketika pasukan itu meraih semua kemenangan sekali gus menyebabkan kehilangan pemain itu semakin tidak dirasai dan kariernya mungkin akan sama dengan bekas pemain mereka, Mesut Ozil.
Bagaimanapun, hanya ada satu sahaja halangan yang menyebabkan Aubameyang terpaksa kekal di London sehingga kontraknya berakhir 18 bulan lagi iaitu gaji mingguan berjumlah £350,000 (RM1.94 juta) menyebabkan tidak banyak pasukan yang bersedia membayarnya.
Ketua Jurulatih Barcelona, Xavi sudah mendedahkan minatnya untuk membawa Aubameyang ke Camp Nou ketika mereka terdesak untuk mencari penyerang tulen menggantikan Sergio Aguero yang bersara daripada bola sepak ekoran masalah jantung.
Juventus yang sudah memiliki Paulo Dybala, Alvaro Morata dan Mois Kean mahu terus mendapatkan lebih banyak pilihan di jentera serangan mereka, namun sedia mendapatkan Aubameyang secara pinjaman terlebih dahulu sebelum memberikan kontrak kekal pada musim panas nanti. – AGENSI