PUTRAJAYA – Sebanyak 20 buah dron kini dalam keadaan bersedia untuk diaktifkan bagi tujuan tinjauan dan penghantaran bekalan penting kepada mangsa banjir yang memerlukan di kawasan-kawasan terjejas.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, dron-dron berkenaan yang mampu membawa muatan sehingga 10 kilogram setiap satu akan turut menjadi pemudahcara akses kepada visual dari udara untuk membantu agensi berkaitan membuat penilaian di lokasi.
“Pasukan Tindakan Kecemasan Khas Perkhidmatan Dron (PTK2Dron) yang ditubuhkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Teknologi Park Malaysia (TPM) akan berfungsi sebagai agensi penyelaras dalam usaha kritikal bantuan banjir di kawasan terjejas.
“Dron-dron ini akan membantu Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menilai keadaan semasa dengan lebih tepat di kawasan terjejas banjir,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Penyelesaian Rawatan Air Teknologi Hijau DeScale di sini hari ini.
Menurut Dr. Adham, TPM bekerjasama dengan syarikat dron VStream, Alphaswift Industries, Aerodyne Group, Meraque Services dan Geo Precision Tech dengan sokongan Persatuan Aktivis Dron Tanpa Pemandu Malaysia (MUDAS) untuk menyediakan perkhidmatan ini.
“Syarikat Aerodyne Group sebelum ini telah diminta oleh kerajaan negeri Selangor untuk menggunakan dron bagi mendapatkan maklumat seperti arah aliran air, mengesan mangsa yang masih terperangkap serta kaedah terbaik bagi pelaksanaan operasi menyelamat di beberapa kawasan yang teruk dilanda banjir.
“Operasi ini juga termasuk mengenal pasti punca air banjir lambat surut di beberapa kawasan yang disebabkan oleh saliran yang terhalang,” ujar beliau.
Bagaimanapun, ujar beliau, pihaknya kini sedang menunggu kelulusan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum dapat menggerakkan dron diberikan lima syarikat berkenaan.
Dalam pada itu, Dr. Adham berkata, cerapan imej satelit yang diperolehi semalam menunjukkan pengurangan kira-kira 60 peratus genangan air di Selangor berbanding pada Sabtu lalu.
“Di Taman Sri Muda dan Seksyen 24 Shah Alam contohnya menunjukkan banjir telah surut dengan kawasan litupan banjir berkurangan daripada kira-kira 5.1 kilometer persegi kepada kira-kira 2.1 kilometer persegi setakat pukul 6 petang semalam.
“Namun cerapan imej satelit di Pahang menunjukkan peningkatan kawasan digenangi air dan susulan itu pemantauan akan diteruskan serta maklumat lanjut keliasan akan dibekalkan oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dari semasa ke semasa,” katanya.- K! ONLINE