PETALING JAYA – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas ekoran penutupan beberapa loji rawatan air (LRA) sebelum ini telah mencapai tahap 47.8 peratus sehingga pukul 12 tengah hari tadi.
Menurut Air Selangor, LRA Semenyih 2 sudah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi 70 kawasan terjejas akibat henti tugas loji ini telah pulih sepenuhnya.
“Bagi LRA Sungai Langat dan LRA Langat 2, kedua-dua loji tersebut telah beroperasi sepenuhnya dan bekalan air bagi kawasan-kawasan yang terjejas akibat henti tugas loji ini dijangka pulih sepenuhnya pada pukul 11:00 malam, esok.
“Bagi LRA Cheras Batu 11 pula, proses pembersihan loji rawatan air dan penilaian kerosakan masih lagi dilaksanakan. Jangkaan untuk LRA Cheras Batu 11 beroperasi sepenuhnya masih belum dapat dipastikan buat masa ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, bantuan alternatif melalui tangki air masih lagi digerakkan secara berperingkat ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.
“Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” ujarnya. – K! ONLINE