fbpx

Geng Apil aktif curi kenderaan mewah tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zaid (tengah) menunjukkan antara kenderaan mewah yang berjaya dirampas daripada suspek ketika sidang akhbar, hari ini.

KAJANG – Geng Apil yang aktif dengan kegiatan pecah masuk rumah serta melarikan kenderaan mewah menggunakan alat kawalan jauh (pembuka pintu automatik) berjaya ditumpaskan dengan penahanan empat individu termasuk pasangan suami isteri pada 6 Disember lalu.

Pasangan suami isteri berusia 39 dan 45 tahun yang disyaki dalang utama mengaku telah terlibat dalam kegiatan tersebut di sekitar Lembah Klang, Pahang, Terengganu dan Kelantan pada awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, polis Kajang telah menerima satu laporan daripada pengadu pada 4 Disember lalu berkenaan rumahnya telah dipecah masuk dan kenderaannya dilarikan di Taman Hijau, dekat sini.

“Mangsa yang berusia 34 tahun menyedari kejadian itu selepas mendapati rumahnya dalam keadaan berselerak dan dua buah kenderaannya iaitu Toyota Alphard dan Toyota Yaris dilarikan suspek.

“Pintu pagar rumahnya telah dibuka menggunakan alat kawalan jauh (pintu pagar elektronik) sebelum pintu kediaman diumpil dan kenderaan miliknya dilarikan,” ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini hari ini.

Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Cawangan D4 Bahagian Siasatan Jenayah daerah berjaya memberkas empat suspek iaitu tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 29 hingga 45 tahun.

“”Hasil pandu arah oleh salah seorang suspek telah membawa polis ke kawasan parkir kenderaan, pangsapuri Jubli Perak di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi dan telah menjumpai dua buah kenderaan mewah milik mangsa iaitu Toyota Yaris dan Alphard yang dicuri sebelum ini.

“Selain itu, enam buah kenderaan lain yang dicuri iaitu Honda Civic, Range Rover, Toyota Vios, Camry, Nissan Almera dan Perodua Alza turut dijumpai semula,” ujarnya.

Jelas beliau, semakan mendapati suspek utama memiliki 22 rekod jenayah membabitkan kesalahan jenayah dan dadah manakala dua lagi rakan sejenayah memiliki 24 rekod jenayah lampau kecuali isteri suspek utama.

Katanya, dengan tertangkapnya kumpulan sindiket pecah rumah dan curi kenderaan mewah Pantai Timur Geng Apil, polis berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah dan melarikan kenderaan seterusnya akan mendakwa suspek di mahkamah dalam masa terdekat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI