SHAH ALAM – Polis mengesahkan beberapa kejadian pecah kedai serbaneka di sekitar Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, hari ini.
Kejadian berkenaan berlaku antara pukul 1 hingga 2 petang tadi dipercayai akibat kawasan itu dilanda banjir teruk.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, keadaan bagaimanapun masih terkawal setakat ini.
“Saya mengesahkan beberapa kejadian pecah kedai serbaneka terutama di Taman Sri Muda yang mengalami banjir teruk.
“Kita dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA) akan menggerakkan elemen cegah jenayah dan bantuan bagi memastikan keadaan terkawal di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian berkenaan.
“Kita menyeru pihak berkenaan supaya membuat laporan di mana-mana balai polis,” katanya.
Tambah Baharudin, pihaknya sukar ke lokasi kejadian berikutan keadaan paras air masih tinggi.
“Paras air masih di pinggang dan pemilik premis juga sukar untuk pergi lokasi berkenaan,” ujarnya.
Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 11 saat di media sosial yang memaparkan mengenai kejadian tersebut.
Perbuatan itu dipercayai dilakukan individu yang terpaksa memecah masuk beberapa kedai kerana kehabisan bekalan makanan akibat terkandas banjir. – K! ONLINE