LANGKAWI – Tatkala kanak-kanak seusianya lincah bermain, Muhammad Aqil Ziqri Abdullah, 5, hanya terlantar sepanjang hari selepas diserang sawan semasa tidur tiga tahun lalu.
Ibunya, Nurrul Azlin Abdul, 37, berkata, kejadian pada Mac 2018 itu meninggalkan kesan mendalam buat dirinya dan suami, Kamal Arifin Sabatu, 53.
Menurut wanita itu, pemeriksaan doktor mendapati anak bongsu daripada dua beradik tersebut mempunyai kecederaan lama akibat terjatuh menyebabkan darah beku pada otak.
“Aqil menjalani pembedahan untuk membuang darah beku dan sebahagian tempurung kepalanya dibuang. Sejak itu, dia disahkan koma sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kelibang di sini baru-baru ini.
Nurrul Azlin memberitahu, dia, suami dan pengasuh yang pernah menjaga Muhammad Aqil disoal siasat pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut.
Wanita itu sebaliknya tidak mahu menyalahkan sesiapa kerana Muhammad Aqil mempunyai ramai penjaga selain dihantar kepada empat pengasuh transit sekiranya pengasuh tetap bercuti.
“Saya terpaksa berhenti kerja sebagai pengemas bilik di sebuah hotel kerana Muhammad Aqil memerlukan penjagaan 24 jam.
“Sekarang kami bergantung harap kepada gaji suami, duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 dan zakat untuk perbelanjaan harian,” ujarnya.
Jelas Nurrul Azlin, suaminya turut menyara kehidupan mereka empat beranak sebagai ejen kereta sewa dengan bayaran sebanyak RM30 sehari.
Nurrul Azlin berkata, Muhammad Aqil juga memerlukan susu khas dengan perbelanjaan dianggarkan sebanyak RM425 sebulan.
“(Jumlah) itu tidak termasuk perbelanjaan untuk membeli lampin pakai buang. Kami terpaksa berbelanja lebih sekiranya membawa Aqil ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk pemeriksaan pakar,” katanya.
Nurrul Azlin menambah, doktor pakar yang merawat kanak-kanak itu memberitahu Muhammad Aqil mempunyai harapan untuk sembuh dengan memasang tempurung kepala palsu dengan kos mencecah RM50,000, namun peratusan untuk sembuh adalah 50-50.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Nurrul Azlin boleh berbuat demikian melalui akaun Bank CIMB miliknya bernombor 7055788448.