LONDON – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp nyata tidak berpuas hati dengan tindakan pengadil perlawanan, Paul Tierney yang mengadili perlawanan ketika pasukannya sekadar terikat 2-2 menentang Tottenham Hotspur awal pagi semalam.
Aksi yang berlangsung di Stadium Tottenham Hotspurs itu menyaksikan pemainnya, Andy Robertson diterjah keras oleh penyerang Spurs, Harry Kane, namun pengadil hanya melayangkan kad kuning.
Bagaimanapun, nasib Robertson pula berbeza apabila menerima kad merah pada minit ke-77 apabila Tierney menganggap kekasaran yang dilakukan terhadap Emerson Royal itu sebagai keterlaluan.
“Saya tidak ada masalah dengan pengadil lain kecuali hanya dengan dia (Tierney). Saya tidak tahu apa masalah dia dengan saya.
“Ia sepatutnya kad merah (terjahan Kane terhadap Robertson). Ia adalah terjahan sangat teruk, tetapi pengadil seperti dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti penyokong tuan rumah dan status pemain tersebut sebagai kapten England,” katanya.
Dalam pada itu, Klopp turut dilayangkan kad kuning kerana membantah keputusan pengadil yang tidak memberikan sepakan penalti selepas Diogo Jota dijatuhkan oleh Emerson dalam kotak penalti pada separuh masa pertama.
Pengendali dari Jerman itu turut mempertikai tindakan Tierney yang enggan merujuk Video Bantuan Pengadil ekoran insiden terjahan Kane biarpun pegawai bertugas memintanya untuk berbuat demikian.
Pada aksi tersebut, Spurs terlebih dahulu berada di hadapan menerusi gol jaringan Kane sebelum Jota menyamakan kedudukan.
Liverpool berada di hadapan selepas Robertson meledak jaringan pada minit ke-69, namun hasrat mereka untuk meraih mata penuh tidak kesampaian selepas Son Heung-min menyumbat gol penyamaan Spurs lima minit kemudian. – AGENSI