LONDON – Presiden baharu Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Mohammed Ben Sulayem menyedari cabaran yang bakal dihadapinya ketika kredibiliti badan induk itu dipersoalkan selepas berakhirnya perlumbaan Formula Satu (F1) di Grand Abu Dhabi baru-baru ini.
Ketika ini, semua tumpuan terarah kepada keputusan FIA terutama melibatkan kontroversi perebutan gelaran dunia F1 antara Max Verstappen (Red Bull) dan juga Lewis Hamilton (Mercedes).
Presiden berusia 60 tahun dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE) yang dipilih untuk menggantikan Jean Todt, berikrar untuk melakukan terbaik dan mahu menyelesaikan masalah besar tersebut seadil-adilnya.
“Jika anda memberitahu saya tentang kredibiliti FIA, benar kami dibina di atas struktur yang baik dan terdiri daripada kumpulan yang cukup bagus.
“Tetapi, sentiasa ada ruang untuk penambahbaikan. Kami hanya perlu melihat di mana kami boleh menambah baik sistem ini.
“Saya kini mendedikasikan diri saya untuk menjadi Presiden FIA sepenuhnya tanpa sebarang gangguan daripada kerja lain.
“Saya telah meletak jawatan daripada semua tanggungjawab saya yang lain. Fokus saya tidak terganggu dan saya melakukan pekerjaan bersama pasukan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Sulayem enggan membuat keputusan terburu-buru sebaik sahaja dilantik menjadi Presiden FIA terutama hukuman yang akan dikenakan terhadap pengarah perlumbaan dari Australia, Michael Masi.
“Saya baru saja terpilih memegang jawatan ini dan satu kajian perlu dilakukan. Saya akan mengadakan pertemuan dengan staf, dan akan melihat setiap masalah yang dapat diperbaiki.
“Apa yang saya boleh katakan ketika ini, saya tidak akan membuat sebarang keputusan sekiranya tidak menerima laporan penuh dan melakukan pertemuan dengan pasukan saya,” tegasnya. – AGENSI