PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli meninjau situasi banjir di sekitar Kuantan, Pahang hari ini susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah berdua telah melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Wisma Belia, PPS Dewan Paya Besar dan PPS SMK Sungai Isap di sini hari ini.
“Seri Paduka Baginda berdua telah berkenan meluangkan masa hampir dua jam dari pukul 12.00 tengah hari menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa-mangsa banjir di ketiga-tiga PPS tersebut.
“Baginda berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir di tiga PPS tersebut dengan harapan dapat mengurangkan beban yang ditanggung mangsa musibah banjir,” jelas satu kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook Istana Negara hari ini.
Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Jelasnya, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua itu disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sallehuddin Ishak.
Tambah kenyataan itu, Seri Paduka menitahkan supaya ujian saringan Covid-19 dilakukan terhadap mangsa banjir di semua PPS bagi memastikan tiada kluster baharu berlaku dan menasihati semua pihak yang berada di PPS mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).
“Seri Paduka juga menitahkan pihak terlibat dengan operasi banjir agar tidak leka melaksanakan tanggungjawab membantu mangsa banjir dan menasihati rakyat mematuhi semua arahan dikeluarkan kerajaan demi keselamatan diri serta keluarga tersayang.
“Baginda turut menzahirkan simpati kepada mangsa-mangsa banjir dan mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan situasi banjir dan cuaca buruk yang berlaku di Malaysia segera berakhir,” ujarnya. – K! ONLINE