SEDAR status dirinya yang baru setahun jagung dalam industri seni hiburan selaku anak wayang, Sophia AlBarakbah tidak ‘kemaruk’ untuk mengejar populariti.
Bagi pelakon berdarah kacukan Melayu, Cina dan Arab itu, bergelar seorang pelakon bukanlah suatu kerjaya yang dia impikan sejak kecil.
Rezekinya bergelar selebriti semuanya terjadi secara tiba-tiba tanpa dirancang. Memulakan langkah awal apabila diajak seorang kenalan menghadiri sesi uji bakat sebuah filem, tuah ternyata mengubah hidupnya apabila bakatnya dihidu.
Bermula dari saat itu, setiap kali dia pergi menjalani uji bakat, rezeki pasti akan memihak padanya.
“Jadi saya fikir, mungkin rezeki saya sebenarnya dalam bidang seni sebagai seorang pelakon. Saya sendiri sebenarnya tidak sangka menjadi pelakon, lebih-lebih lagi kerana saya seorang yang pemalu sebenarnya.
“Alhamdulillah. Saya bermula dengan lakonan dalam filem sebelum kemudian diambil membintangi drama,” kata Sophia.
Timba ilmu
Ujar wanita yang mesra disapa Sophi itu, selepas memilih jalan untuk menyertai dunia lakonan, dia berguru dengan pelakon handalan, Farah Ahmad.
Bahkan, dia berasa sangat beruntung kerana dikelilingi rakan-rakan artis dalam kalangan pelakon senior yang tidak lokek berkongsi ilmu dengannya.
“Saya beruntung sebab ramai rakan seindustri banyak memberikan tunjuk ajar dan teguran demi menjadi seorang pelakon yang baik.
“Selain menuntut ilmu dengan pelakon senior, saya juga banyak membuat kajian untuk memantapkan lagi mutu lakonan,” dedahnya.
Mempunyai latar belakang pendidikan dalam jurusan Bioteknologi dan Dietetik dari International Medical University, Kuala Lumpur, Sophia mengakui kerjaya yang diceburinya hari ini jauh terpesong berbanding bidang yang dipelajari di universiti.
Lari bidang
Kata pelakon cantik itu, pada awalnya dia memang bercadang untuk kekal dalam bidang yang dipelajari. Tetapi lama-kelamaan, timbul rasa minat dalam bidang lakonan.
Ditambah pula dengan sokongan daripada keluarganya membulatkan hati Sophia untuk bergiat dalam bidang seni.
“Alhamdulillah, keluarga sokong kerjaya saya sebagai pelakon. Sebab ibu saya sendiri pun pernah menceburi bidang seni selepas memenangi tempat kedua dalam pertandingan Ratu Cantik Malaysia 1980.
“Rugi? Tidak sama sekali. Bagi saya, kalau minat dan bersungguh-sungguh, kita tidak akan rasa rugi. Lagipun saya memang meminati bidang lakonan,” katanya yang mengidam untuk mencuba watak dalam filem fantasi.
Bercerita tentang pengalamannya sepanjang dua tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, wanita kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, dia pernah hampir putus asa apabila gagal membawakan watak yang dianggap sukar bagi dirinya.
Cabaran
Kata pelakon berusia 28 tahun itu lagi, dia mengakui sukar membawakan watak beremosi yang memerlukannya berasa marah.
Disebabkan itu, dia terpaksa menjalani latihan yang lebih untuk melunaskan tanggungjawab yang diberikan.
“Saya pernah putus asa untuk menjayakan babak marah. Sebab kalau ada babak yang memerlukan saya marah, saya akan berasa seperti gagal.
“Walaupun saya sudah marah sepuas-puasnya, tetap rasa tidak cukup,” dedah Sophia.
Untuk babak menangis pula, Sophia berkata, dia tidak mempunyai masalah untuk melakukannya.
Cuma pada hari-hari tertentu, dia mengakui babak menangis yang dilakonkannya tidak begitu menjadi.
Bagaimanapun, berbekalkan semangat dan cita-cita yang besar, pelakon filem Miimaland itu tidak kisah jika perlu merangkak dari awal, sekali gus mencipta namanya sebaris dengan aktres wanita hebat lain.
“Kalau saya popular sekalipun, biarlah semuanya diraih kerana bakat. Bukannya disebabkan kontroversi yang tidak manis.
“Saya tidak mahu terlibat dengan apa-apa gosip tidak baik dan mahu kekalkan nama bersih dalam industri,” tegas Sophia menutup bicara.