RANTAU PANJANG – Lebih 300 penduduk di Kampung Tersang di sini terperangkap di dalam kampung mereka selepas laluan utama yang menjadi nadi perhubungan mereka ditenggelami banjir.
Seorang penduduk, Din Abdul Rahman, 57, berkata, ia merupakan kejadian pertama kali yang berlaku di kampung itu sejak dia lahir dan menetap di kawasan berkenaan.
“Sepanjang menetap di sini, jalan raya di Kampung Tersang tidak pernah ditenggelami banjir dengan paras air yang sangat dalam.
“Jik berlaku bah, air akan melintasi dalam tempoh singkat terus surut, namun kejadian kali ini tidak seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Din memberitahu, air mula melimpah masuk ke kampungnya sejak Jumaat lalu selepas hujan lebat dan situasi itu menjadi lebih teruk apabila air Sungai Lacang tidak dapat mengalir dengan baik kesan projek tebatan banjir.
“Saya merayu pihak berkenaan untuk turun padang dan melihat sendiri kesan yang dialami oleh penduduk akibat pelaksanaan projek berkenaan,” ujarnya.
Tinjauan Kosmo! bersama Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am, Superintendan Azhari Nusi di kampung berkenaan mendapati jalan raya utama itu ditenggelami air sedalam 0.3 meter dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan kecuali perahu.
Seorang lagi penduduk, Norihan Mohd. Nor, 35, berkata, ini merupakan kali pertama air melimpah dan menenggelamkan jalan raya utama di kampung berkenaan.
Katanya, melihat kepada situasi itu, dia mengambil keputusan untuk segera berpindah ke rumah kakak di Pasir Mas selepas tingkat bawah rumahnya sudah dimasuki air. – K! ONLINE