fbpx

Feri Pulau Pinang percuma sepanjang 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perkhidmatan bot laju sementara digunakan bagi membawa penumpang pejalan kaki menghubungkan Seberang Perai dan bahagian pulau di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyambung pembiayaan tambang feri selama setahun lagi iaitu mulai 1 Januari sehingga 31 Disember tahun hadapan.

Sehubungan itu, Pengerusi Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, semua warganegara Malaysia termasuk warga emas, orang dewasa, kanak-kanak dan golongan orang kurang upaya (OKU) adalah layak untuk menikmati perkhidmatan itu secara percuma.

“Sejak 1 Julai 2021, kerajaan negeri telah melancarkan program feri percuma dan sukacita dimaklumkan kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyambung pembiayaan tambang feri selama setahun lagi iaitu mulai 1 Januari sehingga 31 Disember 2022.

“Penumpang hanya perlu membawa MyKad dan perlu sentuh di peranti pengimbas MyKad yang disediakan oleh pihak Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) untuk mendapatkan tiket percuma sebelum menaiki feri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zairil, dengan pembiayaan tambang oleh kerajaan negeri, penumpang pejalan kaki warganegara Malaysia dapat menikmati perkhidmatan feri secara percuma pada setiap hari dan setiap masa.

“Digandingkan pula dengan program Pas Mutiara bagi perkhidmatan Rapid Penang, ia sekali gus menjadikan Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri di mana keseluruhan jaringan pengangkutan awam sama ada melalui air atau darat adalah percuma.

“Pembiayaan tambang bagi feri ini melibatkan peruntukan sebanyak RM78,000 sebulan dengan jumlah tiket sebanyak 65,000, manakala keseluruhan peruntukan adalah dianggarkan RM936,000 bagi tahun 2022,” katanya lagi.

Tambah beliau, kerajaan negeri berharap dengan pembiayaan tambang feri pada saat-saat kritikal ini sedikit banyak dapat membantu mengurangkan bebanan kos perjalanan rakyat yang berulang-alik menggunakan pengangkutan awam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI