TANAH MERAH – Seorang tukang rumah maut selepas terjatuh dari bumbung rumah rakannya semasa sedang memasang atap zink dalam kejadian di Kampung Kuala Kepok di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 6.50 petang itu, mangsa, Mhd. Azli Ag. Hassan,37, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tempurung kepalanya retak.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Zainuddin Md. Yusuf berkata, siasatan mendapati, mangsa dipercayai datang ke rumah rakannya, Zulkifli Shamsudin,40, untuk memasang zink pada bahagian bumbung.
Menurutnya, semasa ingin membetulkan zink yang terakhir, mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh setinggi 3.65 meter dari bumbung rumah milik pemandu lori itu.
“Rakannya yang berada di lokasi kejadian melihat mangsa sudah tidak sedarkan diri sebelum menghubungi ambulans.
“Penolong pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian telah mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zainuddin, siasatan turut mendapati, tiada sebarang kecederaan pada anggota badan mangsa dan bahagian kepalanya dipercayai terhempas terlebih dahulu semasa terjatuh sehingga menyebabkan ia retak.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah di sini untuk dibedah siasat.
Tambahnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE