KUALA LUMPUR – Keluarga beragama Islam dibenarkan merancang keluarga dan mengehadkan bilangan anak sekiranya atas faktor-faktor tertentu termasuklah disebabkan masalah kesempitan hidup.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, pelaksanaannya bagaimanapun haruslah dengan cara yang betul dan tidak menyalahi hukum syarak seperti melakukan pengguguran.
“Umat Islam boleh merancang bilangan anak, namun jangan sampai melakukan sesuatu yang diharamkan agama seperti menggugurkan janin, ikat peranakan, membuang ovari dan sebagainya.
“Pengambilan ubat (untuk mencegah kehamilan) atas nasihat doktor atau penggunaan kondom adalah dibenarkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan pandangan pakar ekonomi yang berpendapat bilangan anak yang sesuai dengan pendapatan isi rumah RM4,000 sebulan adalah satu anak.
Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, Islam turut membenarkan umatnya menyusun kelahiran seperti memiliki anak lima tahun sekali sekiranya berdepan masalah kewangan.
Bagaimanapun, kata beliau, umat Islam perlu meyakini jaminan Allah SWT bahawa setiap bayi yang dilahirkan ada rezeki ditetapkan untuk mereka.
Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid berkata, keputusan merancang keluarga perlu mendapat persetujuan kedua-dua pihak.
Menurut beliau, pelaksanaannya juga dibenarkan sekiranya tidak menganiaya isteri dan juga janin.
“Umat Islam tidak perlu berasa takut memiliki ramai anak.
“Nabi Muhammad juga menggalakkan umatnya memiliki ramai anak, tetapi haruslah memastikan mereka tidak disia-siakan dan diberikan pendidikan yang sempurna dan sebagainya,” katanya.-K! ONLINE