SEPANG – Penemuan mayat seorang lelaki tempatan dalam keadaan terapung menggemparkan penghuni sebuah bangunan flat di Taman Permata, Dengkil di sini semalam.
Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Selangor, Zulfikar Jaffar berkata, pihaknya telah dimaklumkan tentang penemuan tersebut pada pukul 7.56 pagi oleh anggota polis dari Balai Polis Dengkil sebelum bergegas ke lokasi.
“Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dengan kekuatan lima anggota dan seorang pegawai termasuk dua anggota Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) telah dikejarkan ke lokasi.
“Sebaik sampai di lokasi kira-kira 10 minit kemudian, terdapat satu mayat yang ditemui oleh orang awam dalam keadaan terapung di blok C, tingkat bawah bangunan kediaman jenis flat empat tingkat tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas beliau, pasukan bertugas seterusnya bertindak mengangkat mangsa tersebut menggunakan pengusung dan membawanya keluar dari air berkedalaman kira-kira 0.6 meter yang kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun dikenali sebagai V. Kaniappan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian,” ujarnya. -K! ONLINE