IPOH – Kerajaan Perak mengenal pasti kawasan seluas 12,032 hektar telah diteroka secara haram untuk aktiviti pertanian di seluruh negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata, kerajaan negeri menerusi Pejabat Tanah dan Galian (PTG) bersetuju untuk melaksanakan program pemutihan di kawasan tersebut dengan melupuskan 5,959 hektar kepada beberapa anak syarikat kerajaan negeri.
“Daripada jumlah 5,959 hektar itu, sebanyak 3,930 hektar telah diberi pajak sewa kepada pengusaha (sedia ada) untuk melakukan aktiviti pertanian, penternakan dan perikanan.
“Sementara, baki 2,028 hektar akan dipertimbangkan untuk tindakan penguatkuasaan dan proses pelupusan lain selepas penilaian selanjutnya,” katanya ketika menjawab soalan lisan Dr. Ko Chung Sen (PH – Kepayang) pada Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.
Menurut Saarani, sebanyak 6,073 hektar tanah lagi yang dikenal pasti diteroka secara haram di seluruh negeri kini sedang dalam proses pemutihan oleh pentadbir tanah di peringkat daerah masing-masing.
Jelasnya, antara proses pemutihan dilakukan di kawasan tersebut seperti mewujudkan sistem pertanian berkelompok, mengeluarkan lesen pendudukan sementara dan sebagainya. – K! ONLINE