KUALA LUMPUR – Lapan keluarga yang hilang tempat tinggal akan diberikan bantuan kewangan serta rumah baru bagi menggantikan rumah mereka yang musnah dijilat api dalam satu kejadian kebakaran malam tadi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan terbabit akan disalurkan buat semua mangsa kebakaran unit tingkat empat di Flat Sri Johor, Cheras, di sini.
“Sebanyak RM1,000 akan diberikan buat keluarga yang terlibat dalam kebakaran ini.
“Saya juga berbincang dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan kesemua lapan keluarga akan berpindah ke rumah baru bagi membantu mereka yang hilang tempat tinggal,” katanya ketika berkunjung ke tempat kejadian sebentar tadi.
Jelas beliau, siasatan akan dijalankan pihak bomba bagi mengetahui rumah di tingkat lain masih selamat untuk diduduki atau sebaliknya.
“Kajian dan siasatan terperinci akan dijalankan, jika rumah tidak berbahaya sebagai tempat tinggal mereka akan pindah semula.
“Setakat ini, semua penduduk flat akan ditempatkan di dewan serbaguna sebagai tempat tinggal sementara,” katanya.
Dalam pada itu, kebakaran yang dipercayai bermula pada pukul 9.20 malam itu telah berjaya dikawal sepenuhnya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekitar 11 malam tadi.
Punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pihak bomba. – K! ONLINE.