fbpx

Pemandu lori hanyut banjir ditemui lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba ketika melakukan operasi mencari mangsa di sekitar lokasi kejadian di Bandar Sri Coalfield, Kuala Selangor, hari ini.

KUALA SELANGOR – Seorang lelaki ditemui lemas selepas cuba menyelamatkan diri daripada lori dipandunya yang dinaiki air di Bandar Sri Coalfield di sini, hari ini.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian menimpa mangsa berusia 45 tahun itu pada pukul 4.50 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang dan Bestari Jaya kemudian bergegas ke lokasi kejadian di laluan sebuah persimpangan di kawasan itu.

“Mangsa ditemukan pukul 5.10 petang tadi pada jarak lima meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Pada waktu itu, paras air di lokasi berkenaan setinggi empat kaki (1.2 meter),” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Jelas Norazam, laluan di kawasan itu dilanda banjir dan hampir menenggelamkan lori tersebut.

“Mangsa dipercayai keluar dari kenderaan itu untuk menyelamatkan diri sebelum hanyut dalam banjir berkenaan.

“Lelaki itu ditemukan dalam keadaan terapung dan sudah meninggal dunia,” katanya.

Tambah beliau, mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Kejadian itu tidak melibatkan kemalangan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas,” katanya. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI