fbpx

Panjat pokok, atap demi selamatkan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk terpaksa berlindung di atas bumbung selepas rumah mereka ditenggelami banjir di sebuah perumahan di Karak semalam.

PETALING JAYA – Banjir buruk yang melanda lapan negeri terutama Lembah Klang selepas hujan tanpa henti selama lebih dua hari mulai Jumaat lalu menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut apabila air naik begitu cepat dan banyak kawasan ditenggelami bah.

Ribuan mangsa banjir terpaksa tidur di dalam kereta yang terkandas di jalan raya bersama anak-anak kecil tanpa bekalan makanan, malah ada yang bermalam di atas pokok dan bumbung rumah serta surau.

Di Bentong, seorang penduduk Kampung Chegar Me­dang, Nor Azan Omar, 43, berkata, dia bersama isteri dan anaknya terpaksa memanjat bumbung rumah dua tingkatnya selepas air naik begitu pantas kira-kira pukul 11 malam kelmarin.

Sepanjang malam katanya, dia telah menghubungi banyak pihak bagi mendapatkan bantuan.

“Ketika berada di atas bumbung, kami kesejukan dan kekejangan kaki, namun hanya pada pukul 11 pagi ini (semalam) kami dibawa keluar ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya kepada Kosmo! semalam.

Banjir di Kampung Chegar Medang, Bentong.

Menurutnya, kejadian banjir luar biasa itu menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan barang-barang berharga terma­suk sebuah kereta dan dua buah motosikal.

Dakwanya, kelewatan bantuan bukan sahaja dialaminya, malah penduduk lain yang terpaksa bermalam di atas bumbung dan juga ada yang duduk di atas pokok.

Seorang penduduk Perumahan Makmur di Karak, Azrin Sufian, 18, berkata, dia bersama 27 penduduk di perumahan itu termasuk bayi tiga bulan terpaksa lari ke atas bumbung bagi menyelamatkan diri.

Ujarnya, mereka memanjat bumbung pukul 12 tengah malam bagi menunggu bantuan yang tiba pukul 10 pagi semalam.

“Memang kami kesejukan dan saya sedih melihat bayi berusia tiga bulan bersama ibunya yang kesejukan serta basah kuyup di atas bumbung,” ujarnya.

Tangkap layar video yang memaparkan situasi beberapa penduduk di kawasan Hulu Langat yang terpaksa berlindung di atas bumbung rumah ekoran keadaan air yang tinggi.

Di Hulu Langat, kira-kira 100 penduduk di Taman Sri Nanding semalam terpaksa bermalam di atas bumbung sebuah surau selama berjam-jam lamanya.

Mereka yang menumpang teduh di atas bumbung itu tidak mempunyai bekalan makanan, malah turut terdiri daripada kanak-kanak serta warga emas.

Di Shah Alam, ratusan pemandu pula terpaksa bermalam di Lebuh Raya Persekutuan berdekatan Management and Science University (MSU) akibat terkandas selepas kawasan itu dinaiki air.

Tinjauan Kosmo! di lebuh raya itu antara pukul 2 pagi hingga 5 pagi semalam mendapati, ratusan pengguna mengambil keputusan untuk tidur di dalam kenderaan masing-masing kerana tidak mampu lagi berjaga untuk melepasi laluan tersebut.

Farid Razali, 35, berkata, dia terperangkap di lebuh raya itu sejak pukul 5 petang kelmarin selepas menghadiri majlis perkahwinan di Seksyen 14.

“Saya telah melalui beberapa jalan untuk pulang ke rumah di Petaling Jaya, tetapi semua jalan sudah dipenuhi air.

“Jadi, saya nak cuba nasib untuk pulang ke rumah dengan me­lalui lebuh raya ini, namun air juga sudah tinggi,” katanya.

Di Dengkil, seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) terpaksa meredah banjir menggunakan kerusi roda yang ditolak anak dan suami sejauh 40 meter di Kampung Semarang kelmarin.

Jemaah Ahmad Gemban, 58, meredah banjir ketika air berada pada paras betis, kira-kira pukul 11 pagi kelmarin.

“Kira-kira pukul 3 pagi pada Sabtu lalu, air mula naik di kawasan luar rumah. Sejam selepas itu, air semakin naik.

“Bimbang melihat keadaan itu, saya mengambil keputusan awal untuk berpindah ke rumah anak di Putrajaya. Saya redah air menggunakan kerusi roda untuk pergi ke kereta yang terletak di jalan besar,” katanya.

Penduduk di Seksyen 23 Shah Alam terpaksa meredah banjir selepas rumah masing-masing ditenggelami air.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI