LONDON – Chelsea berdepan risiko besar kehilangan pemain pertahanan mereka, Antonio Rudiger yang kini diburu oleh beberapa pasukan gergasi Eropah yang dikatakan bersedia melunaskan permintaan gaji mingguan yang lebih besar.
Rudiger merupakan pemain yang cukup menonjol di bawah kendalian Thomas Tuchel ketika ini, namun berbaki kontrak selama enam bulan menyaksikan rundingan perjanjian baharu masih menemui jalan buntu.
Pemain berusia 28 tahun itu kini meraih gaji sebanyak £100,000 (RM558,000) seminggu dan meminta jumlah sekali ganda untuk kontrak baharu tetapi Chelsea hanya bersetuju untuk menaikkan gajinya kepada £140,000 (RM782,000) sahaja.
Ketika Rudiger bakal dibenarkan untuk mengadakan rundingan bersama kelab lain pada Januari nanti, Chelsea berdepan kesulitan untuk terus memujuk pemain itu ketika dia mungkin berjaya mendapatkan tawaran lebih lumayan daripada apa yang diinginkannya.
Beberapa pasukan mewah seperti Real Madrid, Bayern Munich, Juventus dan Paris Saint-Germain dilaporkan sudah memulakan ‘misi’ untuk memujuk Rudiger menyertai mereka terutama apabila dia dilepaskan secara percuma pada Jun nanti.
Pasukan-pasukan berkenaan didakwa tidak keberatan untuk menawarkan gaji mingguan sehingga £400,000 (RM2.23 juta) seminggu kepada Rudiger kerana mereka tidak perlu membayar sebarang yuran perpindahan.
Sekiranya laporan tersebut benar, ia bermakna Rudiger bakal menjadi pemain pertahanan pertama di Eropah yang menerima gaji tertinggi setakat ini biarpun dia mengakui bersedia untuk kekal di Stamford Bridge.
Bagaimanapun, keengganan The Blues memenuhi permintaannya memungkinkan Rudiger untuk mencari destinasi baharu ketika khidmatnya mula ditagih banyak pasukan ketika ini. – AGENSI