NEW DELHI – Seorang lelaki di India menjalani pembedahan selama tiga jam untuk mengeluarkan sejumlah 156 batu karang dari dalam perutnya selepas dia mengadu mengalami sakit perut yang teruk, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Beberapa doktor berkata, bilangan batu karang yang dikeluarkan daripada badan pesakit itu adalah yang paling banyak di India setakat in.
Pesakit yang merupakan seorang guru dan berusia 50 tahun, pergi ke sebuah hospital di Hyderabad untuk mendapatkan rawatan.
Setelah melakukan ujian, doktor- doktor mendapati batu karang itu berada di dalam perutnya dan bukan saluran kencing seperti yang biasa berlaku.
Doktor-doktor melakukan prosedur laparoskopik yang membolehkan mereka mengakses bahagian dalam perut pesakit tanpa perlu membelah perut.
Dr. V Chandra Mohan dari Hospital Urologi dan Buah Pinggang Preeti berkata: ‘’Pesakit ini mempunyai batu karang selama lebih dua tahun tetapi tidak pernah mengalami sebarang gejala pada masa lalu.’’
“Bagaimanapun, kesakitan yang tiba-tiba berlaku memaksanya menjalani semua ujian yang diperlukan.
“Selepas menilai keadaan kesihatannya, kami memutuskan untuk membuat prosedur laparoskopi bagi mengeluarkan batu-batu karang itu.
“Semua batu karang itu dikeluarkan sepenuhnya selepas prosedur yang berlangsung selama tiga jam,’’ jelasnya. – Agensi