fbpx

LLM pantau lebuh raya bertol sekitar Lembah Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
gambar hiasan

PETALING JAYA – Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) kini sedang memantau status semasa kejadian banjir yang berlaku di lebuh raya bertol sekitar Lembah Klang bermula semalam sehingga hari ini.

Tindakan tersebut dilakukan susulan amaran cuaca buruk berterusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia yang dijangka berlaku sehingga 19 Disember 2021.

Ketua Pengarah LLM, Datuk Mohd. Shuhaimi Hassan berkata, 10 lebuh raya telah menjadi sasaran pemantauan termasuklah Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA), Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuh Raya Jalan Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB) dan Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE)

“Selain itu, turut melibatkan Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Lebuh Raya Shah Alam (KESAS), Lebuh Raya Skim Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK) dan Lebuh Raya Cheras-Kajang (Grand Saga).

“Manakala di lebuh raya bertol yang terlibat arah timur adalah Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Sri Fadillah Yusof turut meninjau ke lokasi banjir di Kilometer (KM) 69.5 sehingga 75.1 laluan Bentong ke Karak di KLK.

Jelasnya, Fadillah telah mengarahkan LLM dan syarikat konsesi untuk menghantar bantuan segera kepada pengguna lebuh raya yang terperangkap disebabkan banjir yang menghalang laluan di lebuh raya.

“LLM telah bersiap sedia sepenuhnya dan telah mengambil langkah perlu untuk memastikan kelancaran trafik di lebuh raya dan hebahan maklumat kepada pengguna dari masa ke masa.

“Syarikat pengendali lebuh raya juga telah diarahkan untuk melakukan persiapan dan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku di lebuh raya samada melibatkan pengguna atau kemudahan yang disediakan,” katanya.

LLM juga menasihatkan pengguna agar menyemak status banjir semasa dan merancang perjalanan dan memastikan kenderaan dalam keadaan baik.

Di samping itu, pengguna lebuh raya boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1 – 800 – 88 – 7752 untuk mendapatkan maklumat status keadaan lebuh raya sebelum memulakan perjalanan selain layari laman Facebook rasmi LLM atau di Twitter @LLMinfotrafik. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI