fbpx

Wealthpier bakal disenarai di Bursa Malaysia menjelang tahun 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD AZIM (kanan) besama Idayu (dua dari kiri) pada sau majlis di Kuala Lumpur baru-baru ini.

PETALING JAYA – Cara orang muda berniaga sangat berbeza kerana mereka memiliki idea pemikiran yang baharu, berani mencuba meskipun berisiko dan bersemangat kuat.

Menjadi trendsetter, mungkin itulah gelaran yang boleh diberikan kepada pasangan suami isteri, Muhammad Azim Ishuddin, 30 dan Idayu Ideris, 30, yang mana keduanya memiliki ijazah dalam biokimia dan memboleh­kan mereka memiliki keistimewaan tersendiri untuk mengoperasikan hala tuju perniagaan sendiri.

Mula berniaga sejak umur 19 tahun, Muhammad Azim yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Wealthpier Berhad (Wealthpier) bersama pengasas bersama, Idayu telah terlibat dalam pelbagai bidang niaga mengikut minat masing-masing sebelum mendirikan perkahwinan.

Semasa menuntut di sebuah universiti tempatan, pasangan ini turut berganding bahu membangunkan perniagaan separuh masa dalam bidang pemasaran berkaitan pengeluaran produk tulen (OEM).

Mereka berjaya membina rangkaian bisnes yang kukuh dengan memiliki pelanggan de­ngan nilai kontrak beratus ribu ringgit.

“Antara faktor kejayaan kami adalah kerana perniagaan ini dilaksanakan secara sistematik dengan budaya profesional bagi membolehkan pelanggan memiliki rekod transaksi perniagaan dari mula produk ditempah hinggalah kepada penghantaran.

“Kami melaksanakan setiap projek secara kertas kerja dan perlu ada indeks penunjuk ­prestasi (KPI),” katanya ketika ditemui di pejabat mereka di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kemudian pada tahun 2015, pasangan ini yang mula membuat persiapan untuk berkahwin dan pertemuan dengan sebuah syarikat perancang perkahwinan telah memberi idea baharu kepada mereka.

“Melihat kepada permintaan yang tinggi dalam segmen tersebut, kami mula menerokanya dengan menawarkan pakej perkahwinan lain daripada yang lain.

“Kami berjaya mengubah suai dan menaik taraf sebuah banglo terbiar menjadi premis yang sangat bersesuaian untuk pelbagai jenis majlis,” jelas Muhammad Azim.

Bermula dari sebuah banglo, mereka berjaya meng­ubah suai resort yang telah berusia 30 tahun di Serendah, Selangor untuk dijadikan dewan majllis selain ditawarkan mengoperasikan dewan serba guna syarikat hartanah utama yang lain termasuk di Sunway Lagoon untuk dijadikan dewan majlis bertaraf premium.

Syarikat baharu milik mereka, The Wedding Heritage (TWH) sete­rusnya mengorak langkah dengan jayanya dengan memiliki sembilan lokasi di seluruh Lembah Klang dengan tawaran harga pakej dari RM20,000 hingga RM60,000.

Pasangan ini lebih menjurus kepada aspek pentadbiran dan pemasaran tetapi segala perkhid­matan berkaitan perkahwinan diserahkan kepada pelbagai vendor dari aspek katering, andaman, hiasan pelamin, bunga telur hinggalah kepada tempahan solekan pengantin dan jurugambar.

“Kira-kira 10 hingga 50 vendor berada di bawah bumbung TWH dan mereka bangun bersama kami sehinggalah mereka berjaya berdikari serta membina rang­kaian perniagaan sendiri,” jelasnya.

Idayu menerangkan, sepanjang menceburi bidang tersebut, lebih daripada 300 majlis telah berjaya dianjurkan.

Dalam kerancakan memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah, Muhammad Azim dan Idayu telah menerima satu tawaran besar daripada sebuah syarikat hartanah yang sa­ngat berpengalaman dan pernah menjadi pelanggan mereka.

“Tawaran memberi nilai tambah bagi sebuah tanah seluas 1.2 hektar di Cyberjaya untuk dijadikan sebuah projek yang mampu menarik pengunjung sekali gus menjadi tumpuan pelabur lain telah membuatkan kami mula tertanya-tanya tentang hala tuju sebenar kami dalam dunia perniagaan ini.

“Demi mencari satu jawapan positif untuk masa depan, kami ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah selain meminta petunjuk dari Yang Maha Esa,” jelas beliau.

Tahun 2019, negara dilanda pandemik Covid-19 yang mana perniagaan berkaitan perkahwinan terpaksa ditutup buat sementara waktu telah memberi ruang kepada mereka beralih kepada perniagaan runcit dengan menjual peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan juga sanitasi tangan.

Cara mereka berbeza kerana menggunakan khidmat pensohor media sosial dan juga artis untuk memasarkan produk melalui platform e-dagang.

“Dalam tempoh seminggu, jualan telah mencecah kepada RM150,000 dan ia berlangsung hanya selama tiga hingga empat bulan.

“Dalam masa yang sama, kami melangkah pula ke satu lagi bidang berpotensi iaitu perunding perniagaan.

“Cabang ini agak menarik ke­rana kami berjaya membangunkan sebuah syarikat berteraskan pendidikan tutor konvensional, kepada syarikat berhad yang bernilai kira-kira RM20 juta.

“Kami membantu syarikat yang dikenali sebagai MyT Educational Berhad membangunkan platform digitalnya seiring de­ngan norma baharu yang mana kelas pengajian dilaksanakan secara maya sekali gus membolehkan mereka terus bero­perasi dalam tempoh pandemik” jelasnya.

Kejayaan tersebut memberi petanda baharu buat Muhammad Azim dan Idayu untuk membantu lebih banyak syarikat baharu atau sedia ada untuk menjadi sebuah syarikat yang bernilai tinggi di pasaran serta memberi pulangan tinggi kepada pemegang taruh.

Menurut beliau, Wealthpier juga sedang membangunkan struktur korporatnya seiring dengan membina subsidari di dalam kumpulan tersebut seterusnya bakal menyenaraikan syarikat induk itu di Bursa Malaysia menjelang tahun 2025.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI