HAMTRAMCK, MICHIGAN – Bandar Hamtramck di negeri Michigan akan diumumkan sebagai bandar pertama di Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai pentadbiran dianggotai sepenuhnya oleh orang Islam, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Majlis Hal Ehwal Awam Islam menyatakan, tiada rekod pentadbiran lain yang seumpamanya di AS sebelum ini.
Amer Ghalib yang kini berusia 42 tahun merupakan Datuk Bandar Hamtramck dan dilahirkan di Yemen. Beliau bekerja dalam bidang perubatan dan sedang belajar untuk menjadi seorang doktor.
Ramai imigran dari Yemen dan Bangladesh kini menetap di bandar itu.
“Malam ini adalah contoh nyata bahawa impian AS masih hidup dan sihat di negara yang menawarkan pelbagai peluang ini,’’ kata Amer kepada orang ramai yang teruja ketika berkumpul untuk meraikan kemenangan besarnya dalam pilihan raya pada awal November lalu.
Dia mengalahkan penyandang jawatan tersebut, Karen Majewski telah memegang jawatan itu selama 16 tahun.
Amanda Jaczkowski merupakan satu-satunya ahli majlis perbandaran itu yang lahir di AS serta merupakan penduduk asal Michigan. Dia memeluk Islam pada tahun 2012.
Keluarganya yang berketurunan Amerika-Poland telah beribadat selama lima generasi di Gereja Katholik berdekatan.
‘’Salah satu perkara utama yang dibimbangi orang ramai adalah kami akan menutup bar. Kami tidak boleh menutup bar,’’ Jaczkowski memberitahu agensi berita CNN.
Beliau dan ahli majlis perbandaran lain tidak mahu menutup bar di bandar itu. Mereka berkata, agama Islam mengharamkan alkohol untuk penganut agamanya sahaja tanpa melibatkan agama lain.
‘’Larangan tidak semestinya hanya pada tempat buruk untuk orang Islam kerana orang bukan Islam tidak hidup di bawah peraturan yang sama,’’ jelasnya. – Agensi