fbpx

Johor alu-alukan cadangan bangunkan LRT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasni merasmikan Pusat Komuniti Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri menyambut baik cadangan sebuah konsortium yang berhasrat untuk membangunkan projek tren Transit Aliran Ringan (LRT) bagi memperkasa sistem pengangkutan awam di bandar raya ini.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, ini kerana projek LRT yang dicadangkan itu dilihat dapat menyokong pembangunan Sistem Transit Rapid (RTS) Link antara Johor Bahru dan Singapura.

Menurutnya, lebih 100,000 pengguna bakal menerima manfaat daripada pembangunan RTS yang bertujuan mengurangkan kesesakan, sekali gus memberi keselesaan kepada rakyat di negeri ini yang berurusan dengan Singapura.

“Maka, kalau dibina sistem sokongan seperti LRT, ia akan dapat menjadi satu rancangan pembangunan infrastruktur rel yang berdaya maju. Lebih 100,000 pengguna memadai dan mencukupi untuk dibangunkan sistem LRT di Bandar Raya Johor Bahru.

“Menerusi cadangan daripada pihak konsortium itu juga, fasa pertama daripada tujuh fasa pembangunan LRT itu melibatkan pembangunan rel di sepanjang jajaran Jalan Tun Razak.

“Dalam cadangan oleh pihak konsortium itu, pada fasa pertama daripada tujuh fasa pembangunan LRT itu melalui jajaran Tun Razak. Cadangan itu diharap dapat mengukuhkan sistem pengangkutan awam sedia ada di Terminal Larkin dan kawasan Bandar Baru Uda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pusat Komuniti Kampung Bakar Batu, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman.

Hasni berkata, Johor Bahru khususnya berpotensi besar dalam sektor pengangkutan awam pada masa depan, justeru menaruh keyakinan pasaran yang tinggi daripada cadangan pembangunan LRT.

“Kerjasama semua pihak termasuk masyarakat diperlukan dalam usaha memastikan pembangunan ini berjaya. Sekiranya ia dapat direalisasikan, pelbagai pihak dapat menerima manfaat daripada pembangunan ini,” katanya.

Sementara itu, Pusat Komuniti Kampung Bakar Batu mula dibangunkan pada 19 Februari 2018 dan siap sepenuhnya pada 31 Ogos tahun lalu dengan kos keseluruhan RM7.69 juta.

Infrastruktur itu dilengkapi fasiliti seperti Dewan Muafakat, Rumah Kelab Bola Sepak dan padang bola sepak.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI